18 May 2008

Pekerja Impor

Kami menyambut tuan-tuan
kerana negeri kami yang pesat
menghidupkan ekonominya
denyut lading-ladang koko,
sawit dan bangunan
mencakar-cakar luas langit
sayembara pembangunan
yang tak letih
meruntuhkan bukit-bukit
meratakan pesisir laut

menyambut persinggahan
kerana negeri kami
yang menyediakan emas harmoni dan damai
bernafas bebas sambil tak mungkin mendengar
saling tak mempercaya antara bangsa
berjalan-jalan riang di segenap ceruk lembah
pulau-pulau, perbukitan yang hijau,
syurga persada laut

menerima tuan-tuan
tanpa curiga
meski ada api membakar dapur rumah
halaman yang harus dikunci
dan berjeriji
memandang peristiwa-peristiwa luka
terpaksa kami menjahitnya sendiri.

Kota Kinabalu.
8 Jun 2000.