18 May 2008

Ketawa itu Tak Menjadi

Kerana ingin memiliki wangi
diciptalah sangkar menjerat kelemahan
dalam nota niat ditulis ayat-ayat api

katakanlah selepas ini ketawa ini menjadi
asas rasa puas konon bertapak kukuh
biarlah jeratan kali ini mengurung rasa benci

menggambarkan api itu membakar sebuah kerajaan
hancur luluh dibaham gelojoh amarah
gugur satu persatu menjadi debu

ketawa itu harus menjadi pada suatu hari yang lain
tetapi malang ketika memulakan ketawa
bibir gugur ke tanah satu-satu

ketika terbuka mulut kelihatan ulat berdunyun-duyun
menyerupai wajah syaitan yang berumah dalam kalbu
tak terdengar apa-apa waima nada sebuah ketawa

cahaya! itulah suara yang menenggelamkan tulisan
pada nota niat, memadamkan api yang tak menjadi lagi
sebuah kerajaan hampir kecundang kembali berwajah

ketika membaca sejarah ini
sebuah ketawa tak menjadi ketika amarah meraja
sebuah ketawa tak menjadi ketika niat menepi


Kota Kinabalu,
13 Disember 2001.