18 May 2008

Bait-bait Muhasabah

i.
Tak mungkin jelas dalam pawana kata
dalam rakam hikmah membahasakan kesilapan
jika pencak silat yang bersarang
tak mampu mempertahankan ujian
bahkan ujana kemaafan
kucuba menangkis tikaman
demi tikaman waktu yang tajam
mengasak kejengkelan dan dendam menghitam
entah tiba-tiba saat itu aku duduk semula
di atas kedaifan sejuta malang
sambil merakam setiap bait muhasabah
di tingkap gelisah

ii.
Kemahuan itu diwarnakan segerombolan tipu helah
memasung waspada dan kedaifan
kutahu di mana langkah yang harus kumatikan
mampu kumengelak tikaman-tikaman kerana di tanganku
adalah taming sari yang mendedami putih kebenaran
aku akan gugur dan mati kerana itu
lihatlah darah ini, mengalirkan segala-galanya
batu hati, pekak dengar, ego api

iii.
Kematianku ini membawa pergi semua mimpi-mimpi
ngeri, menenggelamkan kapal daifku yang memperkasa
celaka, menghalang makna persahabatan
ziarahlah ke dalam ketiadaanku kali ini
sebagai doa muhasabah, menjulang maknanya
igau sejahtera, emas percaya, agung cinta
inilah jasadku yang sebenar, sekarang.


Ikatan Penulis Sabah,
17 April 2001