20 May 2008

Catatan Penyair: Puisi, Wacana Fikrah

DI mana harus bermula?

Inilah pertanyaan yang sering kali menghantui saya semasa berkarya. Kreativiti saya selalunya tercetus daripada permulaan-permulaan awal tanpa rencana. Memang terasa sedikit janggal ketimbang kebiasaan para pengarang. Yang pasti, dunia penulisan menjanjikan banyak harapan baru kepada kehidupan. Bidang ini sentiasa menguji kepekaan dan ketabahan setiap insan penyair. Tiga faktor yang kerap mencabar kewibawaan seorang penyair yang rasanya amat penting iaitu bagaimana kehidupan itu dinilai. Kedua, kesan daripada makna kehidupan dan ketiga, kebijaksanaan sebagai penyair memanfaatkan ilmu dan pengetahuannya menghalusi karyanya.

Penyair harus kreatif. Mahu tidak mahu dia harus memilih tata hidup yang tersendiri, bijak sana menilai makna yang tersirat seterusnya menyalurkan makna mindanya melalui liku yang lurus dan jujur. Saya tidak pernah menduga bahawa saya mesti menulis sesuatu yang telah mencetus resah naluri saya untuk memperkatakannya melalui media yang saya kuasai.

Sebagai penyair, saya seperti insan lain, hendaklah mendekati makna kehidupan yang lebih besar, yang lebih global. Mahu tidak mahu terpaksa pula memilih landasan-landasan yang diakui benar. Lazimnya begitulah, hala yang saya tujui melikukan pertanyaan demi pertanyaan atau persoalan demi persoalan yang mendambakan jawapan. Atau kadang-kadang memantulkan semula satu pertanyaan atau persoalan yang baru. Saya akui bahawa kehidupan ini berada dalam lingkungan yang silih berganti, berputar bermula dari titik asal dan kembali ke titik tersebut. Dalam proses demikian apa yang selalu ingin saya peroleh ialah suatu kesempurnaan.

Begitulah ketidakadilan. Keadilan begitu mudah dieja dan dihafal malah dibasa-basikan tetapi amat payah memberikan suatu kepuasan. Tidak ada keadilan selagi ada pertimbangan-pertimbangan untuk hukuman-hukumannya yakni ada pentas keadilan atau wujudnya institusi pengadilan di dunia ini. Namun demikian inilah yang sering menjadi wacana tulisan saya. Apa yang saya fikirkan seperti suatu medan perjuangan. Perjuangan memperkatakan keadilan dan kebenaran walau pun selalunya kemenangan dirasakan terlalu perlahan menjadi kenyataan.

Puisi merupakan genre sastera yang saya kuasai. Dalam keadaan ini, saya mempunyai alternatif yang tersendiri agar idea, gagasan atau bahan fikir saya boleh disampaikan atau boleh dirasai getar maknanya. Penyair harus mempunyai cita-cita atau impian. Sebab itu, kita seharusnya melakukan apa saja untuk mencapai kejayaan. Begitulah juga dalam dunia kepenyairan.

Semua ini bertolak daripada pengalaman, ilmu dan tanggapan berdasarkan pengetahuan yang ada. Manusia dianugerahi Tuhan dengan indera yang amat bernilai sekali apabila dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Di sampingnya ialah pengalaman, bagi saya, media yang membantu untuk memperkemas ilmu yang ditemui.

Tidak dapat tidak saya harus melalui pengalaman-pengalaman yang perlu diterokai. Bukan menunggu bahan-bahan pengalaman itu datang bergolek seperti mana pesan Amil Jaya (Datuk Haji Ismail Abbas) di awal penglibatan saya dalam dunia penulisan. Menerusi kembara saya telah menemukan warna-warna baru mengenai kehidupan, kalau pun sama tetapi tersirat makna baru yang boleh dimanfaatkan. Puisi bukanlah satu genre sastera yang mudah atau terlalu payah. Jika pun benar bahawa mencipta puisi boleh dilakukan dalam beberapa minit, boleh jadi berhari-hari, berminggu-minggu bahkan beberapa tahun. Sesungguhnya ia membutuhkan suatu pengamatan, suatu gerak kerja yang bersungguh-sungguh.

Saya gemar melakukan sesuatu bentuk puisi yang tidak seragam dari segi bentuk, laras, tema, dan gaya bahasa antara satu karya dengan yang lain. Semua ini berlaku kerana tidak pernah ada rasa puas terhadap satu-satu cara laku yang pernah saya ungkayahkan. Pengaruh penyair-penyair terkenal tanah air amat menjiwai saya tetapi banyak membantu, misalnya Sasterawan Negara (SN) Dato’ A.Samad Said, SN Dr. Muhammad Haji Salleh, As-Suhaimi (Suhaimi Haji Muhammad) dan Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Terutama sekali dalam soal pemilihan kata-kata. Bagi saya sesuatu yang baru itu seharusnya ada pada setiap karya. Bahasa ialah media yang sangat penting untuk menyalurkan maklumat atau mesej yang hendak disampaikan. Sebagaimana diungkapkan penyair Indonesia Supardi Joko Damono (1997): sesuatu karya kreatif itu akan terasa getar suara dalamannya apabila pemilihan kata-kata segar dan baru.

Sehubungan dengan itu, hayatilah puisi-puisi saya dalam buku ini. Segala rakaman rasa, sikap dan jati diri yang tersirat dalam puisi-puisi tersebut diharapkan mampu mengangkat martabat penyair Melayu di persada dunia yang sarat dengan cabaran dan ancaman.

Hasyuda Abadi,
Kota Kinabalu, Sabah.