20 May 2008

Kematian yang Semakin Hampir

ketika jatuh
bukanlah kematian yang hampir
kau matikan kekuatan peribadi
saling bicara begini:
berikan aku nyawa yang lain
kerana kematian kejatuhanku,
fikirmu

ketika pulang
ke rumah fikir
kau fakirkan fikiran agung:
aku peribadi yang duka
luka seluruh jiwa
berikan aku darah yang lain
kerana darahku tak lagi merah,
fikirmu

ketika sunyi
bisikan tak lagi didengarkan
kau tulikan telinga:
aku si bisu yang berkata dusta
bahasa isyarat tak lagi
bermakna sama
berikan aku sajak-sajak santai
menyatakan kebisuanku pada pantai,
fikirmu

ketika tak mengerti
fikirmu berarak di padang
reformasi kerajaan diri
demontrasi ini memberi
sebuah kematian yang hampir
pada fikirmu
yang fakir!


Kota Kinabalu,
7 Disember 1998.