18 May 2008

Mendengar Nafas

Jangan keliru jika sajak ini kutulis
sejak sejarah menutup diari diri
tak kutulis apa-apa lagi waima bermimpi
tak kunampak apa-apa tentangmu
hitam lenggam waktu malam
dan dalam bayang lutsinar
tapi aku mendengar setiap denyut nafas
yang melekat dalam suatu nafas yang lain
menyatu padu hinggakan tak siapa
mampu mengaku apabila mahu
kukatakan sesuatu

aku mendengar nafas yang kau lepaskan
dan tak mungkin kutunjukkan aibmu
di hadapan para tetamu iaitu fikirmu sendiri
mata, lidah dan hati
ketika di hadapan cermin apakah di hadapanmu
sebuah wajah atau pernah kaugambarkan
suatu wajah yang tak ingin kau miliki?
rupa-rupanya kau tak pernah menyesalinya
entah siapakah aku harus bicara begitu

aku ingin berkata tentang kebodohan
bukankah kita mahluk yang bodoh yang patuh
kepada Kepandaian Tuhan
tetapi kau simpan setiap kebodohan itu
di bilik yang lain yang sebenarnya tidak pernah
kau buka pintunya
kau meninggalkan bilik itu sebenarnya
sambil menuju ke sebuah bilik yang lain
yang sering juga kau lupa membawa kuncinya

katakanlah sajak ini untukmu
jangan terkeliru dan mengapikan cintamu
kerana akan terbakar jiwamu yang jauh patuhmu
kepada segala haru biru langkah helah tipu
kau menjadi debu dan bersahabat dengan angin
kau menjadi angin dan mahu menakluk duniamu
kau menjadi dunia dengan segala kekosongan
di dalam bilik melayan kebuasan
di dalam hingar bingar lagu-lagu, kau tak bermimpi
merangkul dunia sepi yang berapi membakar
sebuah peribadi.


IPS, Kota Kinabalu,
5 April 2001.