20 May 2008

Catatan Penyair: Puisi, Wacana Fikrah

DI mana harus bermula?

Inilah pertanyaan yang sering kali menghantui saya semasa berkarya. Kreativiti saya selalunya tercetus daripada permulaan-permulaan awal tanpa rencana. Memang terasa sedikit janggal ketimbang kebiasaan para pengarang. Yang pasti, dunia penulisan menjanjikan banyak harapan baru kepada kehidupan. Bidang ini sentiasa menguji kepekaan dan ketabahan setiap insan penyair. Tiga faktor yang kerap mencabar kewibawaan seorang penyair yang rasanya amat penting iaitu bagaimana kehidupan itu dinilai. Kedua, kesan daripada makna kehidupan dan ketiga, kebijaksanaan sebagai penyair memanfaatkan ilmu dan pengetahuannya menghalusi karyanya.

Penyair harus kreatif. Mahu tidak mahu dia harus memilih tata hidup yang tersendiri, bijak sana menilai makna yang tersirat seterusnya menyalurkan makna mindanya melalui liku yang lurus dan jujur. Saya tidak pernah menduga bahawa saya mesti menulis sesuatu yang telah mencetus resah naluri saya untuk memperkatakannya melalui media yang saya kuasai.

Sebagai penyair, saya seperti insan lain, hendaklah mendekati makna kehidupan yang lebih besar, yang lebih global. Mahu tidak mahu terpaksa pula memilih landasan-landasan yang diakui benar. Lazimnya begitulah, hala yang saya tujui melikukan pertanyaan demi pertanyaan atau persoalan demi persoalan yang mendambakan jawapan. Atau kadang-kadang memantulkan semula satu pertanyaan atau persoalan yang baru. Saya akui bahawa kehidupan ini berada dalam lingkungan yang silih berganti, berputar bermula dari titik asal dan kembali ke titik tersebut. Dalam proses demikian apa yang selalu ingin saya peroleh ialah suatu kesempurnaan.

Begitulah ketidakadilan. Keadilan begitu mudah dieja dan dihafal malah dibasa-basikan tetapi amat payah memberikan suatu kepuasan. Tidak ada keadilan selagi ada pertimbangan-pertimbangan untuk hukuman-hukumannya yakni ada pentas keadilan atau wujudnya institusi pengadilan di dunia ini. Namun demikian inilah yang sering menjadi wacana tulisan saya. Apa yang saya fikirkan seperti suatu medan perjuangan. Perjuangan memperkatakan keadilan dan kebenaran walau pun selalunya kemenangan dirasakan terlalu perlahan menjadi kenyataan.

Puisi merupakan genre sastera yang saya kuasai. Dalam keadaan ini, saya mempunyai alternatif yang tersendiri agar idea, gagasan atau bahan fikir saya boleh disampaikan atau boleh dirasai getar maknanya. Penyair harus mempunyai cita-cita atau impian. Sebab itu, kita seharusnya melakukan apa saja untuk mencapai kejayaan. Begitulah juga dalam dunia kepenyairan.

Semua ini bertolak daripada pengalaman, ilmu dan tanggapan berdasarkan pengetahuan yang ada. Manusia dianugerahi Tuhan dengan indera yang amat bernilai sekali apabila dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Di sampingnya ialah pengalaman, bagi saya, media yang membantu untuk memperkemas ilmu yang ditemui.

Tidak dapat tidak saya harus melalui pengalaman-pengalaman yang perlu diterokai. Bukan menunggu bahan-bahan pengalaman itu datang bergolek seperti mana pesan Amil Jaya (Datuk Haji Ismail Abbas) di awal penglibatan saya dalam dunia penulisan. Menerusi kembara saya telah menemukan warna-warna baru mengenai kehidupan, kalau pun sama tetapi tersirat makna baru yang boleh dimanfaatkan. Puisi bukanlah satu genre sastera yang mudah atau terlalu payah. Jika pun benar bahawa mencipta puisi boleh dilakukan dalam beberapa minit, boleh jadi berhari-hari, berminggu-minggu bahkan beberapa tahun. Sesungguhnya ia membutuhkan suatu pengamatan, suatu gerak kerja yang bersungguh-sungguh.

Saya gemar melakukan sesuatu bentuk puisi yang tidak seragam dari segi bentuk, laras, tema, dan gaya bahasa antara satu karya dengan yang lain. Semua ini berlaku kerana tidak pernah ada rasa puas terhadap satu-satu cara laku yang pernah saya ungkayahkan. Pengaruh penyair-penyair terkenal tanah air amat menjiwai saya tetapi banyak membantu, misalnya Sasterawan Negara (SN) Dato’ A.Samad Said, SN Dr. Muhammad Haji Salleh, As-Suhaimi (Suhaimi Haji Muhammad) dan Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Terutama sekali dalam soal pemilihan kata-kata. Bagi saya sesuatu yang baru itu seharusnya ada pada setiap karya. Bahasa ialah media yang sangat penting untuk menyalurkan maklumat atau mesej yang hendak disampaikan. Sebagaimana diungkapkan penyair Indonesia Supardi Joko Damono (1997): sesuatu karya kreatif itu akan terasa getar suara dalamannya apabila pemilihan kata-kata segar dan baru.

Sehubungan dengan itu, hayatilah puisi-puisi saya dalam buku ini. Segala rakaman rasa, sikap dan jati diri yang tersirat dalam puisi-puisi tersebut diharapkan mampu mengangkat martabat penyair Melayu di persada dunia yang sarat dengan cabaran dan ancaman.

Hasyuda Abadi,
Kota Kinabalu, Sabah.

Kunjungan

Berada di sela-sela gerbang mimpi malam hari
inilah kunjungan umpama pernah termateri pada janji
tanda rindu telah usai di kelopak embun dinihari
terasa basahnya, sejuknya menjahit nyaman
bertunas di dahan hati

Selalu kuusai calar-balar kehidupan
selalu kutemui pendirian berdiri pada runcing tombak
makna tanda tanya yang harus dijawab
sekalipun hari semakin hampir pada senjanya
dan mimpi-mimpi menghampiri daun detik terakhirnya
rimba malam diredah jua mengutip jejak dan sisa

Jika ada masa bicaralah lewat mimpi yang menghadiri
pertanyaan-pertanyaan yang belum berjawab,
jika ada waktu lorongilah kalbu yang menghimbau rindu
yang membuak mengalir luka persahabatan dulu
jika ada luang hayatilah cahaya dari luka itu
mengalir lewat bucu-bucu anak panah sepimu

Ah! terkesimakah
waktu hujan gerimis membasahi cermin fikir
kulihat awan kembali menyerlahkan tamsilan
warna mendung
namun kian kurasai dan kumesrai
tangan makna yang akan menyambut
salam kunjungan ini.


3 Julai 1997
Kota Kinabalu

Percakapan Tentang Duri

Bersembunyi di kelopak kalbu duri-duri bunga
tak dapat kucapai tapi subur di taman sukma.

Bunga-bunga berduri bersembunyi di dalam embun Sabda
berkacalah cahaya Sabda mendirikan duri di ladang api.

Menyalalah api membahangi dunia embun
menakung renjis hujan di taman duri dan bunga-bunga berduri

Bersembunyilah kalbu di dalam sukma duri.


Lumadan, Beaufort
10 Ogos 1997

Embun Muharam

Cahaya berkaca hinggap di puncak pengap
gerak liuk senyap dan sejuk duniamu
diamlah alam
menenggelamkan era silam
mengeram langgam sepanjang malam amalku

Saat ini terkuak hijab rindu
akrab alam sejuk menelusur baur padu
meriuhkan sunyi, memanjat munajat
dan bertempur dalam lingkaran embun
yang berakar di rumah daun

Agar tak gugur
saat dinihari mulai ditinggalkan.

Kota Kinabalu
11 Ogos 1997

Mangsa

Hari ini, sekali lagi editor minda dihulur berita.
Mangsa dipercepat matinya, di mata pisau
atau ledak peluru, membuak kulit dan isi tubuh

Wadah khabar seperti ini menjerebu di dalam
media-media dan menghimpit meja editorial fikirku,
menjelajah jauh, sesekali singgah memunggah bobrok
akal mengalih segala amaran Tuhan, mencengkam
mengejar mangsa, rebah, dimamah nafsu serakah

Kemewahan ini, apakah merdeka?
Di hadapannya kematian dan getar cemas.
Di hadapannya mangsa. Tak ada gerak bebas
menikmat udara dan damai negeri.


Kota Kinabalu
15 Ogos 1997

Segaris Senyum

Gambaran tentang keindahan yang
berakar pada cermin fikirku ialah tentang segaris
senyum. Senyum yang dilukis di sela-sela bibir
laksana cermin yang mengambil gambar wajah
dalamanmu: mesra, ceria mahupun menghargai.

Semua akan melukiskan semula wajahmu itu tanda ucap
kasih dan mesra dengan segaris senyum yang hampir
serupa. Di dalam, tiada siapa yang akan mencerminkan
rupa sebenar: adakah basah atau bahang api
berbaja, ketika sepi dan daun-daun sudah kehilangan
embunnya?

Mungkin apa yang digambarkan tentang segaris
senyum bukanlah senyum yang merekah di sela-sela
bibir, sebenar…

Kota Kinabalu
17 Ogos 1997

Di Kota Sepi

Saudara akan ketemu
jernih embun membebat
sarat duka, menghirup
aroma bunga-bunga cinta
meresap senyap, membangun
segala saraf benih
menyemai nyaman tawaduk
di hamparan lidah, berbuku
di kamar kalbu, burung-burung
kata menebarkan
makna…

Asia City, Kota Kinabalu
18 Ogos 1997

Di Bawah Lingkaran Musyaf

Aku kecil mengepal kebenaran
yang kuimbau di celah-celah kebesaran, keagungan
basah nafas kesucian
antara lingkaran
ukiran-ukiran musyaf mengindahkan
antara lingkaran
artifak-artifak purba muzium

Di dalam syahdu dan kental makna
dan jalan luas terbentang
cahaya dari lorong kalam Ilahi
aku rebah
tapi kupelajari lestari murni
menghayati pelabuhan yang jauh
sejati cinta kudekapi.


Bayt al-Quran & Muzium Istiqlal,
Taman Mini Indah Indonesia.
Jakarta, 1997.

Potret Istana

Mumpung segunung cinta meledakkan laharnya
aku sudah memotretkan gelombang-gelombang sejarah purba.
artifak yang tak dikata tapi diperagakan menelanjangkan kenangan.
Demikiankah senimanmu bertakhta di dalamnya sebuah istana
sejarah seribu gembira dilayarkan bahtera?

Kami dari sejarah masa kini mencatatkan besar kamar,
patung-patung dan lukisan-lukisan terkenal
bersamamu: Sarina
atau pertarungan dua saudara yang bersemi
bersamamu.
Cermin seribu wajah sering mengimbas
ketika sendiri sebenarnya bersama-sama
dilayarkan tanpa nakhoda!

Si Demok itu
mungkin terlalu melucahkan, tapi indah bukan busananya
melainkan seni yang menghijau selalu berada dalam kamar penggemar.
Mungkin kamera di tanganku telah lelah
dan buku catatan mulai terkulai
melepaskan sahaja pandangan di padang luas
pohon-pohon rimbun dan rusa
yang bebas itu…


Istana Bogor,
20 Oktober, 1997.

Datang Kembali

Menemui kembali diri di Jakarta
sahabatku mendekah ketawa.
Sungguh, rindu memulangkan segalanya
digari kenangan dan mimi-mimpi lama

lama kuterpedaya
usia malang dijejeri luka
yang kureka

di Jakarta kalbuku membiru
semakin hampir kalbu anak-anak keil
yang kukurung kepercayaan
mulai rimbun di halaman

syukurku, meski jauh
sentuhan anak-anak dan wanita
yang kucintai

lama setia yang kau hamili
nanti abadi datang kembali.


Jakarta – Kuala Lumpur – KK,
26 Oktober 1997.

Wakil Rakyat

Ketika kami mengulangi permintaan
mereka hanya memandang dari dalam
sedang kami mengeja-eja harapan dan menghafalnya

Seperti orang lain mereka juga mewarnakan kehidupan
menyusun payah dan meletakkan sengsara di dinding
memelihara kebencian sering bersahabat ketika malang

Wakil rakyat tempat kami mengadu nasib dan meminta
suara kami menyeberangkan mereka ke benua jangka
membina rumah

Malangnya kepada kami segala sengsara
segala sengketa dicanai dipersembah api membara
kami dipimpin dan hidup membaca huruf-huruf dusta

Tiada atau ada dua kata yang menyatu pertanyaan
siapakah yang memimpin dan dipimpin
siapakah yang memilih dan dipilih

Siapakah yang bernama wakil
siapakah yang bernama rakyat
siapakah yang tak henti-henti berharap

saat ini, lakaran perdebatan dan peperangan saraf
khianat fitnah atau tak ada taat setia
rebah pekerti musnah hati budi dan hilang timbang rasa

Saat ini, mereka kembali mencari diri
mencari kehilangan yang mereka lupakan
mengembalikan akar menegakkan pohon impian

Kota Kinabalu,
10 Julai 1998.

Kemerdekaan

Tak aku tahu apa erti kemerdekaan saat ini
walaupun kami bebas memilih diri
destini dan pintu rumah kami

Tak aku tahu apa lagi makna kemerdekaan ini
berkata-kata harus berbatas
bukan membangunkan harmoni

Akhirnya kami musykil
kami curiga dan bingung
berada di manakah kami di bumi merdeka ini?

Ada yang terpaksa menyata pendirian
saat tergumam oleh muslihat
tanpa rela hati dan ikhlas jelas

Semua orang harus berpendirian
untuk mengekalkan perpaduan
untuk membelai utuh peribadi

Di sisi kuasa
atau fobia kebangkitan manusia
mulia, berani mendirikan masjid kebenaran

Alangkah angkuhnya
berada di hadapan barisan
kanan kiri ada banjingan mengasak kebatilan

Dan membunuh kebenaran
meruntuhkan keadilan
di manakah kami di bumi yang merdeka ini?

Yang saling dihidang rungsing
yang saling didodoi dusta
yang saling diberi mimpi

Mari, ambil nafsu kebenaran ini
semaikan di dadamu
peliharalah menyuburkan pohon adil

Belajarlah menjadi kami
yang saling memberi biarpun kau terima
bermakna bukan dari kami

Turunlah ke bawah
dan dongakkan kepalamu
siapakah yang paling tunduk antara kita?

Kota Kinabalu.
17 September 1998.

Memahami Kudrat

membentangkan pekikan ombak di rahang ranjang
pembaringan menembusi dinding-dinding malam
dan siang
sepi hidup dan bersenyawa
dalam kandang pandang purba
melukiskan kasih tanpa batas mencitra pasrah
berserah pada bungkam tafakur menyelami hikmah lara

saudara kami yang tak pernah selesai
mengucapkan darud iaitu salam dan salawat
membangunkan harapan dan lafaz doanya
yang tak pernah lewat
mengatur waktu yang semakin mengecil
memaut diri

dan tanpa berbeza datang siang atau hening malam
pada kamardiri merasai gigitan tabah dan sepi
citra cabar yang tak menyatakan akhir
bagai serpih soalan-soalan biasa yang kau ukir
pada pertemuan makna hayat di bibir fikir

saudara kami yang tak mungkin
pernah menjahit kecewanya
ampun ditadah dipinta merasai nikmat wangi cahaya
penghayatan corak warna dan menggambarkan tenang
pada wajah dan iramakalbu yang bersatu


Kota Kinabalu,
19 September 1998.

Kematian yang Semakin Hampir

ketika jatuh
bukanlah kematian yang hampir
kau matikan kekuatan peribadi
saling bicara begini:
berikan aku nyawa yang lain
kerana kematian kejatuhanku,
fikirmu

ketika pulang
ke rumah fikir
kau fakirkan fikiran agung:
aku peribadi yang duka
luka seluruh jiwa
berikan aku darah yang lain
kerana darahku tak lagi merah,
fikirmu

ketika sunyi
bisikan tak lagi didengarkan
kau tulikan telinga:
aku si bisu yang berkata dusta
bahasa isyarat tak lagi
bermakna sama
berikan aku sajak-sajak santai
menyatakan kebisuanku pada pantai,
fikirmu

ketika tak mengerti
fikirmu berarak di padang
reformasi kerajaan diri
demontrasi ini memberi
sebuah kematian yang hampir
pada fikirmu
yang fakir!


Kota Kinabalu,
7 Disember 1998.

Tin Kosong Sebuah Lagu

kami sudah diajar oleh kebiasaan
kami sudah dibiasakan oleh kebudayaan
kami sudah dibudayakan oleh kedewasaan
kami sudah lali oleh kelalaian
kami sudah tak peduli
apa apa akan jadi

ting tong tin kosong
ting tong tin kosong
lagu kamu nyanyikan waktu hujan tak datang
lagu lama kamu gembirakan waktu akan
datang harapan-harapan
lagu lama kamu dendangkan ketika nak
datang tumpuan kebijaksanaan

apa-apa akan jadi selepas ini
kami juga mahu bernyayi seperti kamu
tapi kami tidak akan berjanji
sesiapa akan gembira dengan nyanyian ini
sesiapa akan kaya dengan nyanyian ini
sesiapa akan menderita dengan nyanyian ini
kami akan menafikan
kata-kata bohong para pembohong
kata-kata manis para pengemis
kata-kata murni para pencuri

ting tong tin kosong
ting tong tin kosong
lagu kamu nyanyikan waktu hujan tak datang
lagu lama kamu gembirakan waktu akan
datang harapan-harapan
lagu lama kamu dendangkan ketika nak
datang tumpuan kebijaksanaan

kami anak-anak kemerdekaan yang harus merdeka
ini tempat tumpah darah kami
jangan serahkan tin-tin kosong
di hadapan kemerdekaan ini
jangan gendangkan kosong tin-tin
di tengah-tengah bebas kemerdekaan kami

ting tong tin kosong
ting tong tin kosong
lagu kamu nyanyikan waktu hujan tak datang
lagu lama kamu gembirakan waktu akan
datang harapan-harapan
lagu lama kamu dendangkan ketika nak
datang tumpuan kebijaksanaan

kami akan memilih kebenaran
kami akan memilih keperluan
kami akan memilih kepunyaan
kami akan memilih keadilan
kami akan memilih kesempurnaan
kami akan memilih keunggulan
kami akan memilih kemerdekaan

jangan paksa kami mendengar ting tong
lagu-lagu kosong tin kosong
sekarang…!

Kota Kinabalu,
1998.

Memahami Pertanyaan

Masihkah kau digalaui pertanyaan
yang mewarnai naluri menjelitakan wajah persahabatan?
memiliki misterinya sambil menanti penjelasan
yang diintai-intai di balik kamar, menyebati riuh bosan
memburu biru makna di perdu malam
mengungkap percik sinar yang tersirna
asyik menakluk hayat kebenaran,

kau tunas hijau menyelinapi senyap jendela
membuka pandang ke saujana padang gelisah
menyangkutkan pertanyaan demi pertanyaan
dalam kiasnya berbahasa rahsia
kelak merungkai pedih luka dulu
dibisikkan gema canang gulana panjang
dicitrakan saban senja menjengah,

yang pulang mentafsir tanya
berulang dan mengulangi kata
berhayat di dalam sukma menafasi
meriwayatkan rahsia memakna sentuhan naluri
memesrai gerbang akrab yang sentiasa sasa.


IPS, Kota Kinabalu.
30 Mac 1999.

Tekad di Mata Pisau

Apakah demi luka
membuak darah membara
tatkala kau bawa
sedekad tekad di mata pisau
rindumu

Makin kuasah mataku
di atas pengasah pengalaman ini
mempelajari iramanya
memberi keras kepada ketajaman
memberi tajam kepada kekerasan

Menusuk di jantung akal
mengasuh mata pisau kalbuku
menikam mata kalbumu
yang datang
dalam kelabu

Sambil dibuai kenangan masa lalu.


IPS, Kota Kinabalu,
2 Jun 1999.

Sebuah Jatidiri yang Pergi

-semoga roh allahyarham Haji Harun Haji Salleh
dicucuri rahmat bersama para solihin dan syuhada


(dan kita tidak perlu menjawab jika ada bertanya
siapakah si kerdil di sisi Maha Perkasa?)

demikianlah kunjungan yang sementara
kembara di bumi Tuhan
dianugerakan-Nya seberkas akal -
dengan cekal dan tawakal
membangun umat mensejahterakan kalimat
meski sesekali berjarak
tapi Dia amat dekat

kita hanya menyimpan haru
untuk bapa yang tak sempat dihulur ria
dalam sengsaranya
kita angkat bakat sastera dan bahasanya
memperkasa sahsiah agama dan bangsa
kita diasuh menyemarak minda oleh tintanya
sungguh utuh dan kental
juang dan jatidiri bapa
yang tak pernah betah melangkah
tak pernah mengira jarak jejak
memburu kemanusiaan berpuncak kebenaran

meski tak perkasa di hadapan Yang Maha Perkasa
kau perkasa di antara anak-anakmu
kau perkasa di dalam lingkaran pengorbananmu
kau perkasa di serata ceruk mengalirkan dakwat
seperti gelora laut
kami di pantai menikmati deru fikir yang kau ukir
di antara pantai-pantai yang dibentuk alur pengalaman

bapa tak datang antara kami
ketika mendalami kalbu fikirmu
bicara galak memberi hujah di pentas
beradu pada sayembara demi sayembara
kemenangan untuk zaman lampau
itulah lampu anak bangsa
bapa hilang antara kami
waima nama dan karya berhimpun di persada bangsa
bapa pergi menjana janji mimpi-mimpi syurga
doa anak-anak dan sahabat
memartabat rumahmu yang baru di sisi Maha Pengasih

al-Fatihah …


Kota Kinabalu,
23-24 Julai 1999.

Rampas

tak lain hanya dukacita tatkala pintu rumah kami disita
kalian masuk tanpa salam
datang mengepung halus menerjah mimpi-mimpi kami

siapakah pemula membiasakan keadaan
mendustai mangsa?
Bertandanglah perampas itu dari seberang
berbasa basi, menikam para hulubalang negeri
menjual janji dan bernyanyi
hingga tak ada kata lagi bicara kami
habis dibawa lari

penggempur melumpuhkan lawan bagai monyet-monyet
bergayutan di pepohonan adalah perampas yang waras
bijaksana menyuntik kedegilan, patuh,
kami mengenal hampa
luka lara yang tak mungkin dibicara
kalian rampas kepunyaan dan kebenaran
kalian rampas emas kepercayaan
menuang wang di setiap pintu rumah
menjadikan kami boneka bermain mimpi
di hujung telunjuk, mudah aja angguk jujur
memenangi ketika kami mudah jatuh menggelepur

rampaslah kepunyaan kami, bunga-bunga yang belum gugur
atau yang telah gugur, kau rampas apa jua
projek berjuta, bukit bukau kau rampas
lembah purba kau rampas, laut selut kau rampas
hati kami, kekasih kami, jiwa kami kau rampas!

ketika kembali kau tinggalkan hampanya
ketika kembali kau pulangkan hanya mimpi-mimpinya
ketika kembali kau tak peduli
merampas impian kami
yang bertunas emas.


Kota Kinabalu,
1999.

Meski Bukan

Meski bukan kehilangan tapi itulah kehilangan
yang sepi akrab yang mendekat kian menjauh
dalam rumah piluku kausingkir mimpi-mimpi
mengusir rasa menjadikan malam tak mungkin
malam dan siang tak mungkin siang

Meski bukan ketiadaan tapi itulah ketiadaan
yang sunyi kubicara lagi tentang lara lama
yang kukunci di kamar berakar kesedihan
memenjara wajah menghukum diamku
kau beri kepada lukaku

Meski bukan malang tapi itulah malang
yang pulang ke sisi
menjelmakan perkasa seperkasanya
lebih berani menjadi diri sendiri
menghadapi cabaran mendepani dugaan

di sisi meski kau, kau panorama ilhamku
meski bukan kehilangan yang hilang
meski bukan ketiadaan yang tiada
meski bukan malang yang malang
kau di sisi mengunjungi taman-taman


IPS, Kota Kinabalu,
1999.

Kembali yang Hilang

Kau terlupa tapi bukan tak ingat
ketika anak-anak berlari-lari di pantai
bunga-bunga pasir berkembang
antara alunan ombak suatu senja
ketika cerita kumulakan

Kau terlupa tapi bukan tak ingat
ketika kau meraba mencari jalan pulang
bunga-bunga simpati tumbuh di taman
ehsanku menjadi embun dini
menyegarkan kembara sampai di sini

Kau terlupa tapi bukan tak ingat
ketika kau jatuh dan doaku kau selamat
saling mengiring mengimpikan mukjizat
ku hidupkan kehidupanmu
ku hidupkan kehidupanmu
ku hidupkan kehidupanmu

Dengan keterbatasan dan seadanya
rela aku memulangkan diriku kepadanya
memulangkan kenanganku kepadamu
memulangkan kemesraanku kepadamu
memulangkan kenakalanku kepadamu
memulangkan keceriaanku kepadamu
memulangkan keramahanku kepadamu
memulangkan kekuatanku kepadamu
memulangkan kepercayaanku kepada semua
memulangkan diriku kepada diriku

Demikian pulang kepada sayang
pesan untuk kebahagiaan kekasih
pesan untuk kebahagiaan sahabat
pesan untuk kebahagiaan akrab
kau tumbuh dalam diriku
nanti mati tumbuh diri-diri untuk dirimu
sayang pengembalian yang hilang.


IPS, Kota Kinabalu,
1999.

Rumah Usia

Telah dijanjikan terbuka pintu itu
dan memasukinya
ketika bernostalga
mengutip satu persatu tapak sepatu,
malam mengulangi bahasa gelapnya
sunyi mendekapku
siang mengakrabkan riuh
tanggungjawab memacu hidupku,
tak siapa selain diri sendiri
mengalami dan menzahirkan erti
kehadiran dan kehilangan waktu
meningkatnya zaman
dan mewarnai usia

Melangkah ke dalam rumah usia baru
angka meningkat selangkah
hari-hariku berkurang satu demi satu
di hadapan yang beranjau seribu
memburu seutuh cekal
bersenjatakan tabah meredah zaman
belantara membangunkan kota cita

Apakah yang kupelajari dari masa lalu
terhimpun dalam album diri
mengarkibkan peribadi
merujuk segala suka dan duka
ceria atau durja
hiruk pikuk pengalaman
pahit manis kenangan
melebarkan tahuku dari alpa
tapi apakah aku tak lepas dari terlupa
dilekai dera rasa
yang mempesona gelora?

Doa berdesir seawal dinihari
saat yang pertama membuka jendela usia
saat yang awal memandang ke dalam diri
tafakur akur mengagungi Ilahi
melanjutkan usia untukku berbakti
sujud pasrah
memanjangkan langkah mencorak
himpunan pedoman mengasuh pengalaman.

Kota Kinabalu,
1 September 1999.

18 May 2008

Pulang Ke Rumah

Inikah akar peribadi
anda temui
pulang ke rumah
mempamer gejala budaya
mempopular kelainan

Anda menghulur salam pertemuan
kusebatikan inti telaah
pergi dan pulang
pulang dan datang
memandang perjalanan

Hilang wajah semalam,
itukah akar peribadi
yang anda temui?


IPS, Kota Kinabalu,
7 Januari, 2000.

Rindu Kenangan Hijau Di Taman Yang Lain

(Along)

Amarah tak mengenal soal
akhirnya dijawab amaran
koyak jilbab iman
lebur logam keperibadian
rentung disalai api
terpenjara di sangkar benci

Demikianlah terjadi
sambil dukacita mencorak uji diri
memilihmu diabui popular
bisa racun dunia bersengketa

Rindu mengungkai kenangan
melukis hijau di taman lain
penghayatan yang lain.


IPS, Kota Kinabalu,
6 Januari, 2000.

Menjejak Kehendak

Kembali kepada jejak
tak mungkin mimpi atau hanya cita-cita buta
bertemu di situ, sahabat

meski alam kita berbeza
tanggungjawab tak mungkin ratap
atau mengharap ada ketawa di wajah

ini kemerdekaan bersama
demokrasi juga mengikat wibawa
menjanjikan jasa dan kelana kedudukanmu

bila menerjah hadapan
jangan lupa jejak semalam
menjejak kehendak yang tak mungkin kelam

kemenangan masih hijau
meski belum berbuah tuah
menyatakan sikap berbalah.

Lumadan, Beaufort.
12 Januari, 2000.

Dangau Seribu Makna

(Datuk Haji Shuhaibun Yussuf)

Kegembiraan apakah dapat kami beri pada bapa
ketika hayat masih hangat membarai semangat
menyengat cita dan impian yang kian puncak
saat kita berkata
melerai sepi menanti hari demi hari
membilang usia tua
menggalas waras tokoh
memanen jasa

di dangau seribu makna
memekar harus ilmu
tak pudar sebagai peribadi perkasa
menangkap cekap warna pintar
tersimpan di celah debu
dan sarang laba-laba
rak-rak tua dan lembar-lembar
kain perca berbunga

kata bapa, mengenali nurani pada segala artifek tua
buku-buku berjilid sempurna
gasing-gasing yang sering
menemukan gemilang purba
perdu budaya masih berakar mekar
adalah nurani bapa
bersemi di dalam senyap impian
dijulang sanjung
sambil di dalam lipatan akhbar lama
bapa sisipkan tanda jati diri kelana
potret yang menyanjung seni
ketimbang perit kasih
bapa senandungkan riwayat lama

sambil ratusan ilmuan datang
menemukan keajaiban dangau
mengkhabarkan dunia dan anak-anak bangsa
memanjangkan perkenalan
tapi apakah kegembiraan
dapat kami hulur buat bapa?


Dangau Budaya,
Pengalat Kecil, Papar.
15 Januari 2000.

Embun

kembara mulai menelusur lorong-lorong embun
menyental kesan sejuk dan irama basah
di tiang sukma bersandar ramah
menjana rindu yang satu
hidup memuncak
ke langit redup
mengaca warna hinggap di hujung mendung

pandangan mulai memaut dalam ilham
rongga-rongga malam ditelusuri
menghunus tajam basah belati resah
menyiat-nyiatkan daging sepi
dan lihatlah darah sunyi membuak dari kelopak
dinihari

daun malam menyentuh titisan darah
rindu memungutnya dan merenjis pohon waktu
kembara mencelah embun mengaca makna
dari langit sejuta bintang dan warna terang rembulan
menyambut di pintu rahmat Tuhan


Kota Kinabalu.
30 Mac 2000.

Memesrai Gelora Diri

Menjelaskan makna malam yang memulakan bebas
mengumpul renungan malang yang meraung ruang
genta rentak menyetak senyum yang kian longgar
di sasa peribadi

kau simpan sedalamnya di perut ingin
kau tangkap dingin dan memesrai gelora diri
kau rasai pasrah rasa menghempas-hempas gelisah
sesekali hampa

kehidupan itu rawan rupanya, jeritan mengoyak rindu
malam menangisi waktu yang pergi
mengembalikan titis-titis gerimis senja
menghimbau kiasnya

hei, kau yang menunggu angin sepoi berbahasa taufan
menyuakan asakan demi asakan api
pertembungkan benih rahsia yang bertunas
di rerongga

tanpa jawapan, hingga pulang ke sarang peribadi.


IPS, Kota Kinabalu.
31 Mac 2000.

Di Sela-sela Jejari Hipokrit

Hanya mimpi kau beri pada bulan
meski sempat kukutip debu-debu lalu di jalanan
pulang, sempat kutoleh malangnya persahabatan

tidak mengertikah bahasa degil sering terungkapkan
hala selalu diakhiri pedoman yang disesalkan
masa berlalu, berlalu saja di jendela dukacita

jika itulah amaran, kusimpan malu di tabir bibir
tak ada huruf yang kuhafal selain memaknakan sesal
di simpang kutemui senjaku

berhenti menjelajah siur fikir
jejari hipokrit yang mencengkam dulu
lara membara, membakar wajar

berhenti menjengah mimpi-mimpi pada bulan
mari kayuh kehidupan ke perut lautan
meski tak menjumpai gelora dan gelombang


Kota Kinabalu.
5 April 2000.

Mengarca Rahsia

Hanya jelingan sukma sahaja
bertandang di anjung malam
adakah biru yang tumbuh di dahan sepi
atau hijab malu menyembunyi hening?

mengungkai rangkairahsia antara rahsia
menjelajahkan misteri bertakhta
antara jelas halus pada raut kalbu
kabur mengkabus teliti realiti

mabukkah tenungan merasuk renungan
subur kalbu menerawang kebenaran
tapi batil itu mustahil
jangan nyalakan baranafsu di matamu!

sering saling berpaling ke lubuk kalbu
arcakan rahsia, seakan tiada
renungkan riwayat malam
ketika duduk bertasyahud atau sujud

pinggir malam dan tibanya pengembaraan rahsia
jangan nantikan lidah bermadah
pusatkan tikaman tajam latifah rabbaniah
di sinilah madrasah, pengukhuwah

rahsia persahabatan mengarca di kalbu
meskikah keakraban memaknakan hukum
atau wajar dibiar mewarnai misteri
dan berhayat sepanjang matakalbu berdenyut

IPS, Kota Kinabalu.
13 April 2000.

Dosa-dosa Meriuh

Barangkali bukan hati berkata
saat ingin kau selak bilah jendela
lirikanmu, tertumpah payah
menghurai makna mengutip debu
masa berlalu di jalan bersimpang itu

ayuh, simpan saja hasrat yang sarat
malu beranimu, datang mengatur tutur
atau langkah demi langkah menyusun
huruf-huruf tak usai dimengertikan
hingga akhirnya berakhir di simpang itu

tak mungkin lara membara cara
membuka lorong kelam yang kau simpan
bara, meski menjadi cahaya menerobos
hala, oh! jangan padamkan bara memanas
rimas hipokritmu meluluh pilu

oh! jangan hadamkan mamahan resah
yang tumbuh meski tak lagi biru, hijau
masalalu jadilah debu, terbang menjadi
deru menggema lorong-lorong bohong
di kerongkong kosong, lahap menangkap

tak henti-henti menderitai ranap
peristiwa warna dekad-dekad
yang tak meminta makna pada episod-episod
luka mimpi-mimpi impian
semakin tenggelam oleh dosa-dosa meriuh.


IPS, Kota Kinabalu.
18 April 2000.

Tak Terbuka

Kerana terpukul atau tersentuh paksa
celupar ujar di media
di kepala pelajar

inilah resam diinai para kepala
kita julang
kita sayang

hanya langkah songsang
antara runduk dan angguk
geleng kelana mencari kebenaran

mengapa tidak buka seinci minda
besok pintu makna
lebih ranum dan sempurna

apalah maju 2020
pintu masih mati dikunci
bicara diperinci langkah diperhati

resminya inilah
dikepalai kepala-kepala gentar dicermini
cermin diri sendiri.

Kota Kinabalu.
2 Mei 2000.

Pekerja Impor

Kami menyambut tuan-tuan
kerana negeri kami yang pesat
menghidupkan ekonominya
denyut lading-ladang koko,
sawit dan bangunan
mencakar-cakar luas langit
sayembara pembangunan
yang tak letih
meruntuhkan bukit-bukit
meratakan pesisir laut

menyambut persinggahan
kerana negeri kami
yang menyediakan emas harmoni dan damai
bernafas bebas sambil tak mungkin mendengar
saling tak mempercaya antara bangsa
berjalan-jalan riang di segenap ceruk lembah
pulau-pulau, perbukitan yang hijau,
syurga persada laut

menerima tuan-tuan
tanpa curiga
meski ada api membakar dapur rumah
halaman yang harus dikunci
dan berjeriji
memandang peristiwa-peristiwa luka
terpaksa kami menjahitnya sendiri.

Kota Kinabalu.
8 Jun 2000.

Tak Terfikir Pak Menteri

Tak kufikir pak menteri selesa
duduk mewah memandang keliling dinding
gambar raja dan pemimpin perdana
memandangnya, setiap ketika
memerhatikan gelagat
menjawab pertanyaan-pertanyaan
dan jani-janji pilihan raya

Pak menteri membahui tanggungjawab besar
dengan hanya memiliki pasangan-pasangan deria
dia hanya punya satu rasa dan satu hati
menjadikan jati diri
menggeledah resah bertahun
pada bilik-bilik gelap di belakang pejabat
fail-fail usang dan kabinet-kabinet besi
menyimpankan seribu satu janji

Tak kufikir pak menteri mengerti
demikianlah berapa ramai yang mahu memahami
perih payah pak menteri
setiap hari menyusun kerja demi pertiwi
tunggak wibawanya
memandang saujana dan kemiskinan rakan-rakan
sering bertengkar membentangkan tingkah
sering juga membiarkan orang lain mengisi diari
betapa payah memimpin negeri

Maka sering kudengar tohmahan untuk pak menteri
menjadi dalang kehancuran harmoni rakyat
menjadi wayang kehidupan pura-pura
penuh pembohongan belaka
kudengar semua tapi tak kufikir pak menteri
belum mahu memahami apa lagi mengerti
saat ini.

Kota Kinabalu.
8 Mei 2000.

Merenung Hijau

Kejap menakluk warna
antara ribuan daun
pohon-pohon merimba belantara
hatiku hinggap di sana
bersayap senyap mencarimu
di mana
aku mendengar sahutan dari
alun yang basah
salam belantara diam
memelihara sunyinya
akar-akar yang bersabar
menerjah bumi
menjelajah taklukan
empayar garam, air, udara
mengeramkan kehebatan tumbuhan
junjungannya,
mengalir dan mengalir
keajaiban demi keajaiban
di segenap urat, kulit kayu
dan dahan-dahan baru
tunas mengemaskan puncak
renungan warna
bernyawa.


Taman Negara Pahang.
10 Oktober 2000.

Kunjungan 2

Mengapa mungkin tak dimengertikan
keberangkatan sekali lagi
lewat selat sunyi

ketika mengingati kunjungan setia
hijau flora diri atau alur sungai kehidupan
tiada henti

tiada penghabisan mengakhiri persoalan
tiada henti menerawang
gelombang

cekal akar mengenal badai bumi
segala ceruk rimba berbaja
kelam pedoman

jernih bersentuhan salam
meski tak dibayangi ilusi
mekar mawar kembang di hati

salam kunjungan menghantar
aroma mawar
menyambut jejari hari-hari sunyi

mu.


Kuantan,
12 Oktober 2000.

Juara

Jangan lagi ceritakan
haruslah jaguh menentukan
juara di dalam gelanggang

hala akal dipertemukan
diri dinihari membiasakan renungan
ledak kehendak itu biarkan

di hadapan itu jalan
di belakang itu jejak ditinggalkan
memanggilku tak kudengar sahutan

sahabat sepermainan segelanggang kata
mari kembali di sisi bijaksana
menganyam hasrat menimang jagatraya

rimba teknologi biarkan
masih disimpan sopan santun berbudi
indah berbicara berdiplomasi

mengangkat martabat
dari lidah hati penyair hebat
jangan bermain kata hanya

ajukan sengat madu hakikat.


KLIA-KK,
14 Oktober 2000.

Sebuah Kemerdekaan Bukan Untuk Palestin

Insan yang mulai disayat hatinya
sambil darahnya sudah hampir tiada
kering-kering-kering-kering-kering
tapi mata suaranya mulai membuka jiwa raganya
maka kali ini sajaknya mahu
menerbangkan sayap batinnya jauh
menakluk dunia bencana
di mana darahnya yang kering itu
rupanya berkubur di bumi yang lain
iaitu palestin

palestin
suaranya terbuka selembar demi selembar
terlukislah warna-warna merah, hitam kelam
raung yang maha raung muzika kesedihan
sehingga saat itu, tidak ada lagi
tempat memikir-mikirkan bahasa baik
atau keindahan santun nenek moyang
nikmat sebuah kehidupan purba
tidak ada juga damai bagai perkampungan
menyimpan citra padang pasir, sungai nil, gelora
tebing barat sungai jordan

warna darah menghias kanvas
orang-orang bencana sambil gagalnya
orang-orang membuat bencana
menyelesaikan silangkata di atas
meja santap entah berakhir bila
mereka berada di dalam seksa
cemas meneguhkan sikap
yang belum pernah siap
sambil di luar perdebatan
orang-orang bencana melaung-laungkan
angkara tanpa pedoman meruntuhkan kota
meluluhkan harmoni bangsa
menelanjangkan kegamatan, rakus kuasa
menelanjangkan dendam demi dendam
yang panjang
membara,
ketika visual bedilan-bedilan
mortar, bedilan-bedilan batu, bayangkan kesedihan ini
tubuh kanak-kanak dimamah peluru
dalam getar ketakutan dalam getar menghadap maut
dalam getar menginap di kamar peri
manusia insan mengerti

berapa ramaikah lagi anak-anak membutuhkan
keinsanan, dunianya yang dimulakan kebobrokan
berapa lamakah lagi insan malang
tak berhenti menceritakan wanita-wanita
sesat punca, wajah usang, kering kontang
retak beribu bagai ranting zaiton
patah, patah sayap merpati putih
di angkasa luas raksasa
tak terjelajah dunia sengketa ini
kerana titik puncanya adalah sebiji
bom jangka yang meletus bila-bila
para mujahid berani mati
dan inilah ledakan sengketa
mengumpul segala kekuatan suara
riuh rendah, suara dendam kesumat
suara riuh meluluh hasrat
merdeka, suara raungan tanpa kenal
di mana waktu malam dan siang
di mana bayi-bayi, anak-anak harus disusukan,
orang-orang tua yang mempertahankan
warna purba yang tak pernah memutihkan
kenangan, di sini orang-orang bencana
menulis kata demi kata di atas
meja batu dan debu-debu darah
udara bayu sengketa berbalam-balam
kepulan kemusnahan

oh! kau gugur, damai, setelah sekian
demi sekian lamanya
hatiku telah disiat-siat luka
lama seperti dalam sajak-sajak lara
orang-orang bencana
bermain-main di taman perkasihan
dari sebuah bangunan bangsaku
yang sama menganyam dendam diamnya
begitukah akan kelihatan
sebuah visual kehidupan huru hara
sengketa sikap meranapkan warna
warni bangsa, menggadai makna bebas
bebas, bebas seadanya

hidup sebuah kemerdekaan
tidak untuk palestin, tapi untuk
anak-anak yang lemas di lautan dendam
yang hangus dalam bahang api sengketa
palestin tak perlu merdeka
tapi anak-anak kecil itu harus besar
ada harga diri
benteng di akal menyanggah liar akar
angkuh membunuh jiwa raga
menyemai dendam-dendam yang sama
palestin biarpun lenyap di buminya sendiri
israel biarpun lenyap di bumi sini
palestin biarpun lenyap di tanah airnya sendiri
israel biarpun lenyap di tanah air sini
orang-orang bencana dan pencetus sengketa
tak mungkin mengenal erti diam
kecuali memahami untuk pulang
di sisi Tuhan!

Kuala Lumpur,
14 Oktober 2000.

Semiotik Peribadi

Lebih baik tak terbiar
menyulam makna bara memimpin api
hingga tak mampu melukis warna-warnanya
disudahi luahan lahar ejekan-ejekan
mengundang baja dendam
ketika memilih biarkan nafas itu berselindung
menabiri utuh redha
kerana tak selamanya angin berpusar liar
membelai bau tak selamanya harum
menghempas perdaya
tanpa menghadirkan pilihan
tak berpaling memilih kebenaran

tamingsari terhunus dilimau bara diam
menyeka nafas seruling penelitian
mari kita simpan kesabaran ini
untuk suatu kesabaran yang lain
menesankan 'kematian' keehsanan manusia
untuk ditertawai
bukan belasungkawa yang dipenuhi elegi.


Ikatan Penulis Sabah,
18 Februari 2001.

Kunjungan 3

Malam menangkap kelap kelip warna jauh
hidup dalam biru warna di perbukitan ini
damai mengajar kewajaran

hanya berjaya kucapai
jejari bayang di hujung jendela
di sisi anggapan ke arahmu

wajah warna berkembang di hati
suatu hari yang lain sering
menanti jawapan

atas kunjung dari ambang kejauhan
tangis rembulan melauti makna mimpi
menenggelami bicara sunyi

dapatkah kau tangkap kelap kelip
warna suatu rasa bergema
di dalam malam saujana pandangan

di bawah rembulan biru
di atas anjung damai laut ini
kutulis hanya puisi kunjungan seterusnya

agar tidak dimengerti
untuk tidak difahami
maka tidak mungkin diriwayati.


Damai Laut Resort,
Lumut, Perak.
13 Februari 2001.

Mendengar Nafas

Jangan keliru jika sajak ini kutulis
sejak sejarah menutup diari diri
tak kutulis apa-apa lagi waima bermimpi
tak kunampak apa-apa tentangmu
hitam lenggam waktu malam
dan dalam bayang lutsinar
tapi aku mendengar setiap denyut nafas
yang melekat dalam suatu nafas yang lain
menyatu padu hinggakan tak siapa
mampu mengaku apabila mahu
kukatakan sesuatu

aku mendengar nafas yang kau lepaskan
dan tak mungkin kutunjukkan aibmu
di hadapan para tetamu iaitu fikirmu sendiri
mata, lidah dan hati
ketika di hadapan cermin apakah di hadapanmu
sebuah wajah atau pernah kaugambarkan
suatu wajah yang tak ingin kau miliki?
rupa-rupanya kau tak pernah menyesalinya
entah siapakah aku harus bicara begitu

aku ingin berkata tentang kebodohan
bukankah kita mahluk yang bodoh yang patuh
kepada Kepandaian Tuhan
tetapi kau simpan setiap kebodohan itu
di bilik yang lain yang sebenarnya tidak pernah
kau buka pintunya
kau meninggalkan bilik itu sebenarnya
sambil menuju ke sebuah bilik yang lain
yang sering juga kau lupa membawa kuncinya

katakanlah sajak ini untukmu
jangan terkeliru dan mengapikan cintamu
kerana akan terbakar jiwamu yang jauh patuhmu
kepada segala haru biru langkah helah tipu
kau menjadi debu dan bersahabat dengan angin
kau menjadi angin dan mahu menakluk duniamu
kau menjadi dunia dengan segala kekosongan
di dalam bilik melayan kebuasan
di dalam hingar bingar lagu-lagu, kau tak bermimpi
merangkul dunia sepi yang berapi membakar
sebuah peribadi.


IPS, Kota Kinabalu,
5 April 2001.

Bait-bait Muhasabah

i.
Tak mungkin jelas dalam pawana kata
dalam rakam hikmah membahasakan kesilapan
jika pencak silat yang bersarang
tak mampu mempertahankan ujian
bahkan ujana kemaafan
kucuba menangkis tikaman
demi tikaman waktu yang tajam
mengasak kejengkelan dan dendam menghitam
entah tiba-tiba saat itu aku duduk semula
di atas kedaifan sejuta malang
sambil merakam setiap bait muhasabah
di tingkap gelisah

ii.
Kemahuan itu diwarnakan segerombolan tipu helah
memasung waspada dan kedaifan
kutahu di mana langkah yang harus kumatikan
mampu kumengelak tikaman-tikaman kerana di tanganku
adalah taming sari yang mendedami putih kebenaran
aku akan gugur dan mati kerana itu
lihatlah darah ini, mengalirkan segala-galanya
batu hati, pekak dengar, ego api

iii.
Kematianku ini membawa pergi semua mimpi-mimpi
ngeri, menenggelamkan kapal daifku yang memperkasa
celaka, menghalang makna persahabatan
ziarahlah ke dalam ketiadaanku kali ini
sebagai doa muhasabah, menjulang maknanya
igau sejahtera, emas percaya, agung cinta
inilah jasadku yang sebenar, sekarang.


Ikatan Penulis Sabah,
17 April 2001

Lambaian Keakraban

Secara sengaja tangan akalku menangkap
kesimpangsiuran halatujumu
ketika di pentas yang lain
basa basimu menjadi igauan malang
dan masih akalku diisyaratkan
untuk saling melihat dan merasakan
penghargaan yang entah di mana nilainya
jauh di lubuk pengembaraan
berpergian satu persatu

Pertanyaan-pertanyaan melukiskan kekalutan
di atas kanvas yang tak ada putihnya lagi
simpang siur fikirmu pada garis dan palitan warna-warna
seperti adanya pada berus dan cekap tarian jari-jemari
bukankah di situ juga letaknya matafikir
kekalutan yang disengajakan
dialpakan segala petaka
meskipun mampu mentafsir segala

Hingga kedengaran dari bawah persemadian ini
membiarkan lautan menenggelamkan kesimpangsiuran fikir
ketika semakin menyatakan gelombangnya
meninggalkan pantai yang pernah
seketika meletakkan lambaian keakraban
di situlah bahasa kemurnian mengentalkan
ungkapan sepi bersih di dalam nurani


Kota Kinabalu,
22 April 2001.

Kunjungan 4(i)

Datang ke dalam sunyi
menghantar irama seni
menyanyikan sukmamu
meniti di jejambat waktu
tak kutoleh
ketika telah melangkah
ke dalam makna sepi
meski harus kubertahan
untuk melafazkan
ungkap rahsia entah kaupunyai, apakah

datang ke dalam kunjungan
tak dimungkiri tafsir makna desir
ombak sukma
taufan duga
setiap detik meletakkan nama
dan nafas di beranda diri,
masih kupertahankan erti persefahaman
memahami kesudahan persoalan
mimpi-mimpi keakraban

datang meski tak berulang pulang
tak juga luang
mengungkapkan jawapan
dalam diam membelai pengertian
kunjungan demi kunjungan persoalan
lewat jendela usia petang

Kota Marudu,
9 Mei 2001

Sunyi Sari Sepi

Gerai-gerai papan mungkin tak pernah
menolak sapaan angin yang kering
di bawah langit redup
gerimis habuk
sepanjang jalang ke jeti feri
merungkai sejuta mimpi-mimpi

saling bersapa tak mestinya
suara atau salam jemari
dari senyum sumbing tersimpul bahasa kelam
hinggap di dahan pasti memandang harmoni
antara samar wajah hitam dan merah
bahkan tawa, gusar dan melopong
di atas skrin tv
dihulur gelagat gayat artis barat

duduk menghirup segelas nescafe susu
berair batu menilai haus
rakus rasa
hilang jati peribadi
aku cuba mencari seri sepi
teluk marudu, pinggan-pinggan, kalumpang, pitas,
kota yang hanya kota kepada kesunyian
mimpi-mimpi pemodenan
namun ada makna yang sunyi
jika mungkin tak lain
lalang dan pepohonan palpa
paya dan bakau musim kemarau

bertemu, bertamu dan menjalin salam
persahabatan insan dan alam
sunyi sari sepi yang menikam
memaut mata pena membayar takzim
masukan aritifek pengalaman berhimpun
dalam galeri muzium kehidupan.

Pitas - Kota Marudu,
9-10 Mei 2001.

Diam

Menganggap diam kelam
menganggap diam sepi
menganggap diam sendiri
menganggap diam jendela
menganggap diam taman
menganggap diam botol
menganggap diam kunci
menganggap diam telefon bimbit
menganggap diam peti surat
menganggap diam peti emel
menganggap diam roda keretaku
menganggap diam payung
menganggap diam asap (jerebu)
menganggap diam nafas kekasihku
menganggap diam dinding
menganggap diam kertas kosong
menganggap diam modem
menganggap diam tolol
menganggap diam kebenaran
menganggap diam kerusi
menganggap diam tukang sapu
menganggap diam amanah
menganggap diam bohong
menganggap diam suara
menganggap diam mimpi
menganggap diam ilusi
menganggap diam air
menganggap diam tanah
menganggap diam api
menganggap diam angin
menganggap diam diam

Apabila diam yang diam
katakanlah diam itu kematian
menganggap yang mati itu rasa
menganggap yang mati itu hati
menganggap yang mati itu ilusi
menganggap yang mati itu sendiri
menganggap yang mati itu hatibudi
menganggap yang mati itu fikir
menganggap yang mati itu mimpi
menganggap yang mati itu diri
menganggap yang mati itu yakin
menganggap yang mati itu kemenangan
menganggap yang mati itu kebenaran
menganggap yang mati itu dusta
menganggap yang mati itu pahala
menganggap yang mati itu dosa
menganggap yang mati itu mati!
diam-diam api
abu
diam-diam angin
dingin
diam-diam tanah
hina
diam-diam air
cair
diam-diam aku
...

diam-diam penggali
berkarat!
diam-diam kata
bermakna!
diam-diam suara
luka!
diam-diam malam
mimpi!
diam-diam Mu
...

Kota Kinabalu.
16 Ogos 2001.

Bercerita Tentang Perempuan

Apabila lelaki bercerita tentang perempuan
perempuan selalu malang

Apabila lelaki bercerita tentang perempuan
perempuan selalu derita

Apabila lelaki bercerita tentang perempuan
perempuan selalu putus asa

Apabila lelaki bercerita tentang perempuan
perempuan selalu digambarkan kecundang

Wahai perempuan
kembangkan pedang mindamu memancung cerita-cerita
dukamu itu!


Kota Kinabalu,
17 Ogos 2001.

Membaca Puisi Hari Kemerdekaan

Mengulang-ulangkan lafaz
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka

mengulang-ulangkan perarakan
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
gemilang di seluruh pelusuk rusuk negara

mengulang-ulangkan seruan
mengulang-ulangkan harapan
mengulang-ulangkan gambaran
merdekakan mereka yang tak merdeka
merdekakan mereka yang tak memerdekakan
merdekakan mereka yang tak memerdekakan kemerdekaan
mengenangkan mereka yang bangun memerdekakan

memerdekakan fikiran
memerdekakan harapan
memerdekakan gambaran
memerdekakan seruan
memerdekakan kuasa
memerdekakan hamba
memerdekakan kamukamu
memerdekakan akuaku
memerdekakan perpaduan
memerdekakan belenggu
memerdekakan pisau
memerdekakan sasau
memerdekakan diam

mengenangkan jasasasa mereka yang bangun memerdekakan
mengenangkan keringatdarah mereka yang bangun memerdekakan
mengenangkan taksiapasiapa mereka yang bangun memerdekakan
selepas membaca puisi hari kemerdekaan
selepas mendengar amanat tentang hari-hari kemerdekaan
selepas mencatat matlamat berkenaan sebuah kemerdekaan
dewan yang meruangkan suara
tinggal menyepi yang akan didatangi lagi
setiap tahun dan sekali
jalurjalur gemilang berkibar sendiri
lafaz merdeka tinggal di telinga hingga didengar
nanti tahun kemudiannya berulang diulangkan lagi
habis di sini!

Kota Kinabalu.
23 Ogos 2001.

Memberi Cahaya

Tak pernah tak ada wangimu
memberi cahaya pada kamarku
yang disenandungi rindu
tak pernah tak ada warnamu
menakung bayu memberi baru
yang menyelimutkan bahang syahdu

ini tak hanya puisi
kujanakan makna dalamnya
melebur dalam kalbu
tak pernah mengalih arah
menyatu dalam rindu
yang tak siapa menyertainya
waima tak siapa menafikannya

meski harus memelihara
dalam jelaga yang hanya kita
memutihkannya
dalam selimut suci sebersih hati
warna dan wangimu
menjadi milikmu jua
yang menghiasi
kamar diri

sambil kita menanam benih peribadi
setia seumpama embun
agung seumpama cahaya mentari
melewati hari demi hari
merestui
akrab umpama kuku dan isi

Kota Kinabalu.
13 Oktober 2001.

Ramadan al-Mubarak

Riuhsepi dingin dinihari
kumamah kalimah mengharap redha Illahi
sepajang hari meletakkan zahiri dan batini
di atas waras iman dijelajahi

kujelajahi kegelisahan yang dahaga
letih meniti hari mengutuh peribadi
tangkas menepis serangan sendiri
musuh dan lawan mengharum suci

ketika siap berbuka
kemenangan pula dahagakan cabaran lain
tarawih dan witir menjelmakan insan fakir
khusyuk patuh tunduk ke langit

Ramadan al-mubarak
semarak kasih Illahi tak kemarau
gemuruh iman menakluk cahaya pedoman
hari-hari melayari kehidupan.

Kota Kinabalu,
7 Ramadan 1422.

Hanyalah Engkau

Hanyalah engkau
yang mendodoikan nyanyi
membedakanku makna sunyi
tak lebih daripada mencari
yang akhirnya kutemui
di rumahmu ini.

dodoi tentang peperangan
rupanya jihad itu berperang sendiri
diam-diam melakar citra
memisikan rasa
mengagungkan cinta
mengabadikan peristiwa.

hanyalah engkau
yang menyediakan irama
untuk lagu yang kusenikatakan
semadilah di dalam lahad kesaksian
di dalam syahdu menatang gerak rindu
yang hanya engkau memahami
bahasa ini paling naluri
memegahi ujana kasih kekasih
amat abadi mengakari.

hanyalah engkau
kuabadikan
citra
ini, Kekasih...

Kota Kinabalu,
15 Oktober 2001.

KOSONG ii

Bermula
dari kosong
aku jadi sesuatu
yang tak membeku
yang tak terus membisu
sesuatu jadi aku
membeku tak menjadikan
membisu tak meneruskan
kekosongan yang dimulakan

Berilah makna lain
kosong hilang
kosong pulang
kosong datang
kosong malang
kosong jurang
kosong kontang

Hentikan!
mengosongkan fikiran
mengosongkan perjalanan
mengosongkan pandangan
mengosongkan perasaan
mengosongkan kekosongan
meski segalanya kosong
bila ditolak kosong
bila dicampur kosong
bila dibahagi kosong
bila didharab kosong
di atas di bawah kosong

Jangan nanti
pulang kita kosong
bila kita kosong
bila kata kita kosong
bila kata kita dikata kosong
beri kosong kepada kosong
ambil kosong daripada kosong
tabur apapun kosong
tumbuhnya kosong

Hei!
tak kuberikan kepadamu kosong
kerana menjadilah aku
dari kekosongan
bukan aku
dijadikan kosong.

Kota Kinabalu,
31 Oktober 2001.

Penghafal Sepi

Terjadi sendiri dalam daerah
yang sering kupelajari
pengalaman bungkam
tak kan kubiar
pergi

di sisi sepi
kupelajari banyak mimpi
lukisan malam
mendekatkan sendiriku
setiaku dalam lingkaran
paksi janjinya

aku hanya berbahasa begini
diam yang bungkam
menjadikanku begitu utuh
memelihara makna cinta
mengisi rumah rindu
menghiasi taman sepi

biarlah begini
jeritan sukma
sering kudengar
kerana kau adalah malam
yang menjadikanku
penghafal setia
hanya untukmu.

Taman Putrajaya,
Kota Kinabalu.
4 November 2001.

Dini Menelaah Hikmah

Hijau pengalaman begini
mensiratkan makna
harum aroma kehidupan
meskipun dalam pedih penantian
embun menggelisahkan
menjadikan langkah longlai
hatiku dipaut pilu
dalam sejuta tanya
sebalik jeritan rindu

aku hanyut di arus cari
tak mungkin menggambarkan
makna lain
tumbuh antara taman ini
aku bangun dini begini
mencairkan beku fikir
yang kueramkan
sepanjang malam tanpa bahasa
yang lain menterjemahkan
pasrah jiwaku

seutuhnya kuserahkan jiwaragaku
suatu dini yang lain
menelaah hikmah
yang menghijab makna
kusambut iramanya
jika akhirnya aku harus
menulis sajak-sajak
menyalurkan suara jiwaku
yang kurelai
mewujudkan kesendirian
patuh pada kewujudannya
mesti hayat berakhir
tanpa apa-apa
kecuali
kau…


Taman Putrajaya,
Kota Kinabalu.
5 November 2001.

Mengintai Cinta Malam-Malam Ramadhan

Membuktikan kesabaran meresapi cinta kudus
malam-malam tegap rinduku membilang waktu
menyanjung kasih agung melapang nafas
memuji kebesaran mengadakan ruang bebas
duduk bertafakkur di bawah langit-Mu

debu yang disucikan waktu begini
membara mahabbah menyentuh naluri
ingat kebenaran itu berada waktu khusyuk
samudera tafakkur ini airjernih
apakah yang mengalir di pipi?

obor cinta maha agung menerangi malam-malam
menjelmakan dingin yang menusuk di kalbu
ketenangan memeriksa keberadaan diri
memandang alam yang tak terasa lidah melafazkan
bait-bait zikir menzahirkan sunyi

dari segala masa yang menanti keutuhan insan
mata hatinya menginai cinta
terus bernafas berpedoman.


IPS Kota Kinabalu.
26 November 2001.

Jangan Beri Maaf Itu

Yang menjerat
burung-burung kebenaran itu
meletakkan bangkai tipu helah
tak menghidu jejak berhemah

tapi penjerat itu hilang sasar
mati akal dan hati
wajah kerdut dimamah hamba bara
mengaduhkan amarah untuk dirinya

jangan beri maaf itu
yang hilang pedoman kewarasan
kebenaran masih bernafas sasa
memelihara maruah mewangikan bahagia

terbang sebebasnya burung-burung
kebenaran itu di istana kejujuran
semakin utuh dalam pahatan makna
cabaran yang mekar mencambah kelopak rahsia

jangan beri maaf itu
yang tak terucap dan didengarkan
Tuhan Maha Tahu dan menyediakan hukuman
kebaikan di sisi-Nya ehsan sepanjang perjalanan.


Laman Akar Cahaya,
27 Ramadhan 1422 Hijrah.

Diceritakan Peristiwa Itu

Bagaimana mengenal raung waktu malam
seperti serigala yang haus
izinkan suara ini dilepaskan
dari ikatan perasaan yang kelam
di daerah langit itu
pernahkah ditangkap suara menjadi hitam
tumpah pada wajah badut yang keliru
di tengah gelanggang sirkus
menjadi serigala yang rakus
meladeni tingkah tak siuman
menyingkap jendela pembohongan

menghambur duri-duri resahnya adalah dusta
itu bukan benih yang disuburkan impian
hanya angan-angan yang bercitakan duka
harus pulangkan ke daerah yang wajar
mengambil keadaan sebagai penjelasan
peristiwa yang dibenarkan
bukan gempita hujan tak menjadi
menyalahkan awan-awan kembali putih
ke arah daerah lain yang terpilih,
Tuhan tentu tahu

berlalulah peristiwa itu
hanya mendengar suara tanpa gema
biarlah kebenaran dalam wacana kebenaran
rasa yang tidak menjadi permainan
sang serigala yang meraung
salah memilih suara
yang telah hilang dimamah zaman
relakan waktu itu berlalu
melihat zaman semakin kelam
usia merangkak menempatkan sasa iltizam
insan yang tak kalah kepada kegagalan

kembalikan wajah serigala waktu malam
kembalikan suara serigala waktu kelam
kembalikan reladuka merelakan kebenaran.


Kota Kinabalu
7 November 2001

Akar Cahaya

Sesuatu yang berada di merata mana akan berpindah
dari hujung pandang ke dalam pandang yang rendah
sebelum tiba ke dasar pandang
teratas…

Apakah
yang dipelajari daripada pandang? Misalnya ketika memilih
warna;
bagaimana warna belum dapat menenggelamkan buta
meletakkan nilai makna warna dengan seutuh sempurna
di atas pandang telus ke medan cahaya

Walaupun singgah di pelabuhan pandang jauh
mentafsir citarasa cemerlang
masih tak sampai jua menilai nikmat itu
masih tak mampu menjana makna hikmah itu;
selesaikan di sini? Tanya kalbu:
Pandang rupanya harus tertumpu
hanya pada satu
nikmat itu padu di situ
utuh mengasuh butaku

Demikian cahaya berada
dalam lapisan-lapisan akar yang jauh
di sana…

Kota Kinabalu
6 Disember 2001

Harum Rindu

Menghampar nafasmu
hangat menakluk dingin
semarak gerak batin
mengikat kalbu mengimani rindu
ini mula kumembuka rahman
yang kubaca saban malam
resah yang belum selesai
impian yang belum usai,
memelihara nafasmu
taman ayu mengharum
segera kupulang ke ruang
menghafal ajaran kebenaran
berlabuh memintal suluh
cahaya yang agung
direstu Yang Maha Agung,
pertahankan nafasmu
harum ini benih hayat
warnawarni musim bunga
memberi jelita ikhlas
telus bicara menyulam waras
menobat rahsia
pasrah memintal pinta
abadi harummu,
Kekasih!

Kota Kinabalu.
7 Disember 2001.

Harga Puisi

Aku mula percaya
puisi sudah menjadi komoditi
yang terlalu murah
kerana berlambak di pasar
para peniaga berlumba
kerana rakyat tanpa mengira
kedudukan dan pangkat
berlumba-lumba
berdiri di pentas
membaca puisi
nilainya sudah rendah
kerana tidak dihayati lagi
makna indahnya
dibaca kerana mahu dibaca
seadanya

puisi pun dibaca di kaca tv
puisi juga di baca di hotel
tapi hari itu puisi-puisi
menjadi tunasusila
yang lalu dari telinga
yang lepas dari matahati

aku dimarahi
kerana meratapi puisi
yang mati di hati penyair
itu sendiri
aku dimarahi
kerana menyatakan kebenaran
yang dinyatakan puisi itu
tunasusila yang meleburkan sahsiah
hargadiri berbahasa indah
aku dimarahi
kerana menulis puisi
di sisiku wajahdiri mencari
emosi yang hanyutkan arus diam

aku mula percaya
apabila puisi menjadi buku-buku bacaan
yang tak laku di pasaran
tapi puisi tetap kuagungi
rahsia rasa menyimpan maknanya
dalam bahasa indah
lembut ketika diungkapkan
mesra apabila didengarkan
menusuk merdu mengharu
kerana puisi bukan untuk dikomoditikan
di pasar lelong buku-buku tak laku
puisi ada letaknya
bukan di kedai buku
bukan di pentas rakyat
yang seadanya
bukan semahunya berbahasa ampu
berbahasa tak laku
berbahasa bau
berbahasa enak sendiri
berbahasa tak erti sendiri

aku percaya puisi
harus ada harga
dan nilai
yang berbeza.


Kota Kinabalu.
10 Disember 2001.

Apakah Tuan Lupa?

Aku mulakan pertanyaan
dalam sajak ini
apakah tuan lupa
calar luka yang masih ada
darahnya
masih dirasai pedih
berbisa sengketa musim
api membara membakar percaya

apakah tuan lupa
kebenaran yang berlindung
pada kata pada tingkah pada wajah
di belakang senyum atau nada ikhlas
berbungkus sejuta satu helah
bila terbuka apakah aromanya
harum kasturi
atau bau bangkai percaya
yang mati di musim yang lalu

apakah tuan lupa
wajah yang tak bertempat di sini
kecuali semangat menyegat hati budi
kami merasa pedih dan sengsara
menimbang tara kebenaran dan pembohongan
pertarungan sesama gajah
gajah putih dan gajah hitam
sambil kami masih kancil
yang terkucil.

Kota Kinabalu.
2001.

Perjalanan yang Berpedoman

Aku melihat kenangan
yang banyak mewarnai kehidupan
hitam putih memberikan kedamaian
bahagia yang tak hilang
walaupun pelbagai benturan
menghadang iltizam

aku menelaah pengalaman
setahun berlalu membajukanku rindu
yang tak pernah berlalu begitu syahdu
melainkan kekal mengharum
menajamkan mata kasih
menghafal makna yang menjelma
dari warna sabar dan cekal peribadi

aku membaca satu persatu dirimu
aku sering belajar dari ilmu yang tak ada
tetapi semakin kurasai jelmaan
yang padu dalam kalbu
rasa amat dalam mencengkam
sengsara nikmat ini lebih sengsara
sambil harummu memaut rasa

aku semakin kuat dan teguh
memelihara wajahku yang abadi utuh
lebih berani bermain di taman itu
kubentengi rasa yang dalam
difahami Tuhan
aku bertaqarub memohon ehsan
pada perjalanan yang berpedoman
kehidupan yang jauh di hadapan.


Kampung Lumadan,
Beaufort, Sabah.
2 Syawal 1422 Hijrah.

Jangan Bicara Tentang Jatuh

Selalunya berlaku penilaian
hanya selepas jatuh
membawa pulang lukanya
dan meletakkan di pelamin sesal
menikahkan muhasabah
apakah ada keberanian menyatakan
punca?

hanya setelah jatuh
tergumam melihat sekeliling
sebenarnya tak ada apa-apa
mengiyakan sebuah kejatuhan
yang melurutkan wajah
akal dan hati
tak ada semua ini
di tangan bergelumang niat
mencakar-cakar gusar
darahnya menjadi api membakar
rimba kebenaran

bicara tentang jatuh, jangan!
jatuh sahabat baik alpa
membenci ingat yang merubah
wajah gelabah dan putus asa
satu hari bila menjatuhkan peribadi
lihatlah apa yang berlaku selepas ini
jangan bicara tentang jatuh
sebelum mengenal bangun
yang memulakan payah
tak ada akar kesumat
cemburu atau iri hati
tumbuh antara taman-taman
mengilhami jatidiri mengasihi

Kota Kinabalu,
13 Disember 2001.

Ketawa itu Tak Menjadi

Kerana ingin memiliki wangi
diciptalah sangkar menjerat kelemahan
dalam nota niat ditulis ayat-ayat api

katakanlah selepas ini ketawa ini menjadi
asas rasa puas konon bertapak kukuh
biarlah jeratan kali ini mengurung rasa benci

menggambarkan api itu membakar sebuah kerajaan
hancur luluh dibaham gelojoh amarah
gugur satu persatu menjadi debu

ketawa itu harus menjadi pada suatu hari yang lain
tetapi malang ketika memulakan ketawa
bibir gugur ke tanah satu-satu

ketika terbuka mulut kelihatan ulat berdunyun-duyun
menyerupai wajah syaitan yang berumah dalam kalbu
tak terdengar apa-apa waima nada sebuah ketawa

cahaya! itulah suara yang menenggelamkan tulisan
pada nota niat, memadamkan api yang tak menjadi lagi
sebuah kerajaan hampir kecundang kembali berwajah

ketika membaca sejarah ini
sebuah ketawa tak menjadi ketika amarah meraja
sebuah ketawa tak menjadi ketika niat menepi


Kota Kinabalu,
13 Disember 2001.

Kemenangan Sebuah Kekalahan

Harga maaf lebih bernilai
apabila menang kerana kalah
tapi maaf lebih mudah terucap
tanpa mengenal erti aduh
yang menusuk itu

ketika kukalah selepas menang
harganya masih mengenal bisa
yang harus kutinggalkan
air mata tak akan memulangkan
segala yang diberikan

apalah sebuah maaf
selain abjad yang membentuk huruf
sering dihafal untuk bab kekesalan
hanya menyimpan debar kehidupan
terus hidup untuk suatu kematian

Kota Kinabalu,
17 Januari 2002.

Nah!

Aku harap
tak mungkin saranah
aku harap
tak mungkin helah
aku harap
tak mungkin bara
aku harap
tak mungkin alah
aku harap
tak mungkin gila
aku harap
aku harap
tak mungkin saranah
itu helah,helah itu
bara, bara itu alah
alah itu gila!

bila akal beku
tak tahu mana pintu dituju
bila fikir fakir
tak tahu mana dalam mana zahir
bila segalanya kikir
tak tahu bila bicara, nah, nah, nah!
tak tahu hujung pangkal, nah, nah, nah!

aku harap
jika pulang, lihatkah pintu, bukan jendela
jika duduk, lihatlah lantai, bukan siling
jika lari, rasakan nafas, bukan lolongan
jika tidur, rasakan dengkur, bukan mimpi
jika nangis, nikmatlah sedih, bukan marah
jika ketawa, bersabar sebelum berbara
jika marah, ambil pena, tulis bukan muflis
rasa dan kata

aku harap
jadilah manusia bukan serigala!


DBP, Kota Kinabalu,
4 Mac 2002.

Bebel Bebal

Tak kan kebal
bebel bebalmu itu
jika memang kukang
menukang kata di bibir
di balik langsir
jendela
bebalmu membebel
antara kecut suara berpura
menjadi sang kukang
menukang sepi wajah berdosa
mengintai-intai
diri siapa

mereka bilang lagi
kebal bebelanmu tak menjadi
nafasmu mula dikira-kira
degupan jantung mulai lewat
waktu sepi menghukum
sarat mayat rasamu

huhahuha!
dari jendela ini jelaga yang datang
tak kebal bebelan membebal jadi malang
menjadi arang...


Kota Kinabalu, Sabah.
6 Mac 2002.

Api Sapi

Tak mungkin mengerti
ketika api sapi
mencari merah warna

merah mawar
meski berduri
api sapi tak peduli

mahu megah di padang
walau tak lagi dipandang
api sapi mahu juga menerjang

api sapi dah kelu
dikunci suara
meski masih ada citarasa

walaupun hampa
api sapi
menunggu dibawa ke zoo

ditonton seribu jenaka
tahu iklim rahsianya
fahami liku majnunnya...


Kota Kinabalu, Sabah.
26 Mac 2002.

Memori

Potret masa lalu
hijab memudah payahku
mencari formula diri

masa lalu taman wangi
bermain melerai helaian
hijab yang mula tersingkap

melihat sebuah malam
menelajah sebuah pengembaraan
melayari sebuah perjalanan.


Kota Kinabalu,
19 Mei 2002.

Luka

Puaka luka itu
telah datang dalam
pekikan malam-malam yang luka
api luka itu
telah lewat rumahku
menebar salju di ubun-ubun kalbu

‘nah, rasa bisa ini
akulah manis membunuh pahitmu!’
kata luka itu.


Kota Kinabalu,
21 Mei 2002.

Dari Makna Tanya

Akulah pertanyaan
bertahta dalam telaah rindu
kuhimpun
menjelang detik makna ada
di ubun-ubun yang dijawab
peleraian cinta yang santun
bertanya.


Tenom,
Sabah.
2 Jun 2002.

Bermain di Lapangan

Hanya melihat gelisah itu
bercempera antara gemuruh
langit dan luka laut
tapi di sini
kehijauan padu mewarnai
daerah bukit
mengalun dalam deru badai
basah pada daunan hanya diam mengelam
di mata kembara
memandang saujana
sebuah irama tak berhenti
bermain di lapangan
diri.


Tenom.
3 Jun 2002.

Kata-Kata

Sebenarnya kuasa pada kata
seperti badai boleh merubah apa saja
seperti api boleh membakar apa saja
seperti salju boleh meredup apa saja

kata-kata dari lidahfikir
kumeraih hadiah kepada harga kemarahan
kata-kata yang lahir dari rahimhujahku
lahir zuriah mencanang genta
menggema kata-kata yang wujud
dari wangirindu

kumewarnai santun mencemburukan bulan
hanya kata-kataku yang lebih telus
mencantikkan wajah hodoh
hanya kata-kataku yang lebih diam
meranapkan empayar hipokris
hanya kata-kataku yang lebih malam
menjagakan lena insan
yang dicuit radang
di situ kuasa kata-kata
yang diberi Tuhan.


Kota Kinabalu.
4 Jun 2002.

Meriuh Taman

Ketika berpulang gampang mengembalikan
lelahmu, selebihnya membuka mata
ke lereng bingung, meneguk sedikit harap
tapi masih kata-kata juga menenggelamkan
pautan piatu rindu

memang biasanya lirih gunung tak lepas
menangkap bayu, nyali napas tersangkut
antara lidah dan pelupuk mata
waktu bingkas tergelut getar dosa
menunggu sesiapa jua yang menagih dusta

bukan demikian pinta yang masih disembunyikan
dalam pautan pura-pura atau serbasalah
mencari pilihan di pipimu sentuhan siapa
kalbu dihijabkan tanda kehidupan
mendamba sempurna tak memungkinkan

ditangkapnya napas mimpi tapi masih datang
kenangan, dekatkan hangat ledakan cinta
tapi hanya rindu yang larut sambil
ada yang menunggu di pintu
membawa ribuan rindu yang sarat
dalam napas yang sendat

riuhlah taman
tetesan embun menyeka haus
tapi bukan malam yang kelam
atau sunyi yang senyap
masih tak sesiapa lagi memerlu tahu
lafaz taklik masih di tangan
meski masih enggan meletakkan seluruh
jasad dan rohani dalam dakapan

riuhlah setiap malammu
kecuali mendekati lebih dekat
yang menjanjikan maaf
aman yang tenang
menebar cahaya gemilang berpanjangan.

Kota Kinabalu.
6 Jun 2002.

Perempuan yang Berharga Gelombang

Hanya dibasahi gerimis senja
gelombang berakhir tidak menyapa apa-apa
dari bibir hanya bungkam
dalam derunya
biarlah bahasa dibasahi diam
mendalami harga sebuah gelombang
di dalam batin perempuan
hidupkan luka laut
berpuncak pada tunas barunya
adalah perjalanan pengalaman
mewangi sabar memperhebat gelombang
belajar di madrasah gelora batinnya.


Kota Kinabalu.
17 Jun 2002.

Namaku

Memanggil aku sesuatu berakarkan cahaya
memancarkan warna sinar
menyuluh kalbu
namaku mengenali diri
membuka akal
melerai sesal
melontar jauh haru
dari jendelakalbu

memberi aku sesuatu
cahaya berakar di kalbu
dengarku tulikan kata pilu
rasa bersisa agung di mata ibu
sasa di mata ayah
karib di mata saudara
akrab di mata kekasih
namaku adalah diri
lafaz dan tingkah
berhemah dan berperibadi

mengajar aku sesuatu
kalbu mencahayakan akarnya
relalah namaku hanya satu
mesra dilafazkan
syahdu mengilhamkan
mensaljukan api
berakar antara cahaya
aku redha apapun namaku
disebut semesranya
dihina sekejinya
didakap sempurna jua
kerana Tuhan lebih Tahu!

namaku di lidah Tuhan
Maha Sucimu aku lafazkan
Maha Akbarmu aku agungkan
Maha Kasihmu aku lestarikan
Maha Karibmu aku akrabkan

namaku.

Kota Kinabalu,
28 Julai 2002.

Memilih Tenang

Hanya bara mensalju santun
zikir menghijab kalbu
menyembunyikan segala haru
dalam debar menangkap seru
hampir diri kepadamu
dekat diri mengenalmu
pada diri memilihmu.


Ikatan Penulis Sabah,
22 Sya’aban 1423.

Menilai Aduh

Kerap jatuh dulu tiba kembali memburu
datang pulang tapi tetap diserang
nilai aduh dipegang

menerima duri nikmatnya
berbisa manis terbanglah sayap jelita
menjelajahi padang-padang medan peperangan

menilai aduh
masih menerima apa jua
yang keruh akhirnya
jernih berkolam di dahi.

Ikatan Penulis Sabah,
29 Oktober 2002.

Sebelum Diisytihar Perang

Mengasah pedangkhusyukku tajamfananya menghiris-hiris kalbu kudahagakan riuhsepi itu kulaparkan lazatrindu begitu sebersit cahaya mula memukau menjalar akarnya ke seluruh ceruk sukma siaga sedia berjuang di luas alam mengepung hanya titikku kuserah jiwa meski perang belum bermula.

Ikatan Penulis Sabah,
29 Oktober 2002.

Kias

Berusaha juga menangkap silap insan yang dihijab pandang berlapis kias menterjemah zatiah wujud saling bertaut hanya kias dalam segala zahir sempurna semakin tiada kerana hanya dia memiliki segala memberi ciptaannya sementara nikmat bahagia dalam luka ikhtibar luka dalam bahagia kias persinggahan fana mendiami baqa masih tak siapa mempertemunya awal dan akhir hanya kuasanya tafakur titian menyeberangi sebuah kesenyapan wadah telaah kias demi kias mewarnai alpa dan waras.

Tanjung Aru,
Kota Kinabalu
1 November 2002

Wajah di Cermin

Tak mungkin siapa nama hanya ungkapan bersapa di dalam cermin itu hanya kias wajah yang memandang semula kepada dirinya segalanya kembali di masa lalu menyusuri gelombang waktu damai dan lara kalbu memahami kemelut bersimpul membenih di taman hidup datang kepada dirinya gelisah dan gundah membahasakan percakapan lumrah menzahir di batin bersatu di puncak zikir hanya persapaan, tak ada apa-apa pandangan yang bersalam membawa ke hari depan merakam wajah memperibadi segala masa lalu yang saling menyatu ini wajah yang fana berkumpul kehidupan kekal yang terhenti menjadi jendela menyeberangkan rindu tanpa batas waktu.

Kampung Tanjung Aru,
Kota Kinabalu.
2 November 2002.

Menginai Badai

Hanya memahami bacaan awan
berarak pada cuacanya
berlalu di halaman
mungkin waktu sebentar
lebih mampu menghurai diam
meski ada tanya yang siap
tapi belum beralas jawab

di dahi menginai badai
kolam meriakkan bahasa senyap
maknanya yang larut
melebur menjadi abid
hafal pada iramadan gerak jauh

tanda telah pun mengabadi
wasilahnya memelihara
hingga tak lagi mengerti
tentang tanya harus berlabuh
menghayat laut memaut
dan pasir menghidupkan semula
jejak-jejak yang memaknakan
pengalaman.


Laman Akar Cahaya.
30 November 2002.

Hanya Ingin Kuberimu

Tak ada lain
hanya ingin kuberimu
warna sepi bulan dan larik ombak

pesona sakti
menenggelamkan riuh malam
lautan mencengkam

tak ada lain
hanya ingin kuserahmu
rahsia sepi cahaya dan riak basah

kembang di taman
selain wangi yang dirasa
subur memisteri sunyi

tak ada lain
hanya ingin kuberimu
sepi sutera dan indah desir

kasturi mewangi
menhjelaskan ruang sunyi
tak ada lagi sendiri.

Kota Kinabalu,
8 Disember 2002.

Apa yang Tuan Akan Katakan

Kami tahu apa yang tuan akan katakan
di dalam fikiranmu tak ada selain perasaan
burammu memandang jalan-jalan yang dilalui
pedomannya pada kenderaan akal yang lain
bukan kenderaan akalmu

itu kata hatimu yuang kau sampaikan
kerana begitu kami tidak ingin mendengar apa-apa
curiga menenggelamkan ungkapan yakin
jika kau fikir kebenaranmu ada di antara fikiran ini
cuba jadilah kami dan berada di sisi kami

apa yang tuan akan katakana ada dalam fikiran kami
jangan isi kekosongan ini dengan kecurigaan
entah di mana punca titiknya
tuan pulanglah antara riuh diam!

Kota Kinabalu,
29 Disember 2002.

Tak Kedengaran Suara

Mereka bicara tanpa kedengaran suara waktu menyatakan harapan dolakdalih
masa lalu siapa mereka di antara penegak bangsa
mereka juga bangun menerjah tanda memilih sempadan yang sentiasa serupa mereka tega berkata-kata sambil tak juga sesiapa mendengarkannya mereka seperti insan-insan lain jauh dari lubuk ingat hanya dekat
sewaktu ada resah mengombak tanggungjawab
harus erat membahu Inilah ucap kerap walau di mana akhirnya hanya memandang debu berlalu di jendela langsirnya diselak angin di situ juga mereka pun seperti biasa berbicara tanpa mendengar suara.


Pulau Mantanani,
Kota Belud.
5 Januari 2003.

Pastoral Mantanani

Tuan lukislah pastoral derita kami
dengan akal dan akar cahaya mencekalkan anak-anak dalam ilmu membekalkan amanat hingga waktu berdiri nanti tak lagi memandang sekadar cakerawala mimpi-mimpi kami kenal bahasa laut pasir pantai di sini dicumbui suci tapi dalam fikiran siapakah harus ditanam angin utara yang memburam seluruh deria menunggu berlabuh pilu tuan tak perlu berkayuh meniti ke sini bersahabatlah dengan gelombang atau angin yang bersuara
sering disambut anak-anak kecil atau para pria berkumpul di pinggir pantai
mencipta bom-bom ikanmenyara kepulan kehidupan di tengah lautan
jika nanti kau masih melihat orang-orang cacat di sini
fahamilah bahasa yang memberi pedoman
hari-hari mendatang milik mereka
buka matamu melihat di antara rumah-rumah mewah dan pondok-pondok seadanya
diaromakan bau laut hening antara tanda-tanda nesan malah hutan kecil di tanjung memberi sarang kesenangan
dimiliki turunan yang tidak berkesudahan; calet di pinggir yang hanya diriuhi pelancong anak-anak yang tekun ke sekolah sarat menggedong bukusambil yang buta bermain pasir atau kereta kawalan jauh anak-anak gadis ke kota dan pulang menyambut jodoh yang menanti

lapangkan senjang waktu-waktumu selain golf di kota
saujana kasih memunggah derita keluh kesah ibu-ibu yang sarat bersalin di tengah pesta ombak tuan, ke marilah kerana waktu telah tiba menunai kebaikan sebelum duduk di atas singgahsana di mercu sambil kami berpesta bersama burung camardan anak-anak ikan yang galak di pantai.


Pulau Mantanai,
Kota Belud.5-6 Januari 2003.

Ketika di Rumah Petang

Memang petang ini kusinggahi
membiarkan baju usia
berukar coraknya
seperti juga esok atau lusa,
aku harus teringat mama
yang selalu menjaitkan
baju-baju itu untukku

memang petnag ini
harus kukunjungi
menyeri mawar kalbuku
menyanyi lirik syahdu
kulihat pagi dan
tengahari yang pergi
aku ingat waktu subuh
menyimpan cahayaingat itu

petang ini
aku besembang
di anjung kesederhanaan
memandang sebuah malam
menoleh pagi dan tengahari yang ditinggalkan
menilai diri
membuka bab subuh
bermula di dini hari
kubersimpuh
mencari khazanah baru
dari seribu erti
perjalanan diri

petang ini
aku menghamilkan sajak ini
kembali ke akar katanya
ke benih asalnya
ke punca jadinya.

Kota Kinabalu,
9 Februari 2003.

Mencari Rahim

Bingar itu kudengar
di pasar fikir
kupuang ke lading makna
menyemai wangi masa lalu

kupulang semual ke teratak peribadi
mencari rahim.

Kota Kinabalu,
20 Februari 2003.

Kuasa

Apakah yang dimiliki rakyat
yang pemimpinnya memiliki kuasa
misalnya hidup mewah pemimpin
sambil mereka tetap seperti biasa
makan minum seadanya di desa.

mereka juga mengharapkan kuasa
yang ada untuk kehidupan mereka
meski kehidupan mereka tidak pernah berubah
sambil mereka yang diberi kuasa
selalu lupa asal usul kuasa itu.

apa lagi kuasa yang lebih mutlak
yang tidak dimiliki manusia melainkan
sedikit berbanding Yang Maha Kuasa.

sesiapa juga yang mempunyai kuasa
bertindak bijaksana menangani kuasa 'kuasa'
yang mereka ada sewaktu meladeni 'orang-orang kanan'
yang selalu menjadi 'kiri'
kepada orang yang memerlukan 'kuasa'
pemimpin berwibawa


Kota Kinabalu,
21 Februari 2003.

Di Bawah Langit Cinta

Kebahagiaan ujana wangi
hijau pohon-pohon merimbun
berteduh anak-anak
yang merinda rindu
bernyanyi kasih sayang
menerima benih murni
dan pedoman
seperti perjalanan perahu
di arus gelombang kehidupan

memaknakan gelora tiada lain
kecuali persahabatan isi dan kuku
menyatu kalbu yang memandang
dikendarai jati diri
di bawah langit cinta Tuhan
gerimis kasih-Nya menyubur taburan
baja bahagia
mengufuk doa-doa tanpa batasnya

kasih dan sayang dimartabatkan
bagai piala abadi pada hati
melerai bara berpandu arah bersalji
biarlah damai mendiami
mimpi-mimpi
dan realiti

ranum pun biar berkurun
memahami rahsia gelisah
gembira yang merencam perjalanan
bukan putus rasa membangun sahsiah
rumah ini ujana wangi keluarga
meski di hadapan seribu liku
dibauri cela dan malang
kerana wangi biar juga mengharum
mewarna ujana perkasihan.


IPS, Kota Kinabalu,
26 Februari 2003.

Mencari Duniamu, Iris

Mencari duniamu, Iris rupanya ada di mana-mana kerana bumi kita pijak bersama dan langit kita dongak searah suaramu kudengar dari dalam huruf-huruf yang menyatu di dahi, di hati yang merangkul kehidupan mencabar kuingin membaca suara duniamu, Iris waktu berbatas kita saling berbalas rahsia percakapan yang kelu di lidah yang bernafas di kepala.


IPS, Kota Kinabalu,

28 Februari 2003.

Apakah Warna Kezaliman?

Katamu, sebuah lukisan di atas dinding kamar di sebelahnya adalah potret ayah dan keluarga katamu, air yang mengalir di lereng gunung kilau batu dan lumut damai anak-anak seluang malam nanti berkembang anak-anak katak katamu, taman rama-rama dan aroma bunga membiak anak-anak menerima hadiahbunga api katamu, riuh dalam kelambu menatap riuh nyamuk berpesta meneroka kelam malam waktu hujan katamu, warna kezaliman adalah kelazatan keangkuhan dan kuasa.

Kota Kinabalu,
31 Februari 2003.

Menemukan Tongkat Musa

(Datuk Haji Musa Haji Aman)

Hijrah itu cahaya menenggelamkan gusar bukanlah kerana dikejar firaun yang kencang dalam tanya yang bertanda pada kepala para kepala laut yang terbelah itu mukjizat tongkat adalah anugerah yang diingat dari mata datangnya selain doa dan harap hijrah yang menemukan ilham sejarah dapatkah kau melihat hari-hari mendatang dalam mukjizat tongkat yang kaupegang pada kalbu di mana jua para firaun itu mematamu dari sezarah kata atau sekukuh kuasa ingatlah waktu pulang siapa yang mengejar dan tak mendengar hujah suara yang memanjangkan perjalanan dimulai pada kepala yang berjiwa langit hijrah ini bermula dan cahaya itu di kalbumu, musa!

Kota Kinabalu,
2 Muharram 1424/4 Mac 2003.

Sukma yang Kembali

- kepada yang pulang

suara rindu yang terkasima
memandang tiada
selain meneroka faham
keajaiban dan keagungan
iaitu waktu kupu-kupu jernih
melintasi jendela

akrab semakin satu
lagi melebur dibawa jauh
sambil doa, syauq, mahabbah
dan mawaddah
melambai dari pintu
yang fana

Kota Kinabalu,
16 April 2003.

Membaca Ikhtibar

Bacalah setiap zarah yang bercempera di dada
menyatu di madrasah fikir
bentuklah cahaya yang memandikan segala dendam
yang menyucikan kesumat tersemat
menangmu mungkin kalah di tanganmu
tidak lagi hujah suaramu bukan amarah
bacalah pada setiap erti bait-bait puisi
yang menjadi peristiwa

bacalah benci dari saujana kebenaran
yang bersembunyi berjalan antara
padang-padang riuh dan rebah megah
bukan sekadar pandang angkuh
bukan sekadar rasa
bacalah sedih dari retak sikap
dan silap menghakis kekuatan

apakah yang dipelajari dari makna kehidupan
tanpa derita
tanpa angkuh tanpa simpati
tanpa tawa tanpa laut
tanpa pasir tanpa hati
tanpa fikir tanpa mata
tanpa kepala

bacalah dengan akal melihat saujana
melebar tidak ruang yang kecil terpencil.

Ikatan Penulis Sabah,
28 Mac 2003.

Memilih Saling Memiliki

Kutetap memilih sutera kunjungan yang santun sinar nur bulan biru saujana laut akar cahaya yang qiam dalam akal makhfi kuujanakan mawar akal kalbu yang menghuni mahabbah dalam carimu

kutetap memilih lunak bahasa rahsia lembut nur bulan mengartistik angkasa merenung gelombang yang mensaujana akrab memperibadi jalar akar cahaya diam membentang hala taman-taman berteduh meriwayat hayat cariku

kupilih bukan sunyi semata bunyi bulan bukan semata nur cahaya qasidah bukan semata puisi laut bukan semata gelora qiam bukan semata rahsia kata bukan semata makna

memilih kerana meriwayati kembang nur bulan gelombang gelora laut di sisi peribadi saling memiliki

Kota Kinabalu, 17 Mac 2003.

Dari Peperangan Itu

Hanya kudengar ledakaan kata-kata
menyatakan sasaran-sasaran propaganda
masing-masing meltakkan kebenaran
senjata mereka rasa benci
bom amarah bakal meranapkan tamadun

hanya kudengar hahuha
sana sin di media-media
kata-kata disulam sebegitu rupa
sambil percaturan diadili
sebagaimana adanya empunya kuasa
retorik pemilikknya hahuha

hanya kudengar sekian lama
dari kukecil hingga dewasa
kukenal kekerdilanku rakyat biasa
kudipekenal kedewasaanku dunia hahuha
peperangan tak pernah reda
kebijaksanaan yang bodoh dibela
kebodohan yang bijak dipersenda

hanya kudengar kedegilan
di mana-mana musuh dan lawan
di sini bermusuh
esok menandatangani persahabatan
di sana persahabatan
lusa menyatakan permusuhan
inila dunia hahuha
peperangan benci sepanjang zaman

Kota Kinabalu,
3 April 2003.

Memilih Ketua

Mereka berpolemik semula berserasehan memilih ketua
sudut bicara tidak lagi sekadar melihat cermin akar
yang menjalar di pasar

menjaja budi
bicara melara
beradu domba
mengacum suasana
si anu begitu
si ani begini
menjual berita
kelmarin hitam
bagaimana menjadi putih
sambil putih harapan
bersilih harap
agar menjadi puncak

mereka berserasehan semula di pelbagai medan media
fikir dan zikir harapan dan torehan masa depan
memilih nahkoda sebuah bahtera harapan

runcing makna belati
menusuk haloba
onar janji memimpin bahtera
namun panji benar dikibar,
benih wajah harmoni ditabur
akarnya menjalar
membangunkan rimbun pohon
di sana bahtera berlabuh
anak-anak kapal bersimpuh
menyimpul satu kata
di hadapan ketua
yang mempunya segala
molek peribadi
berharga amanah
berbudi murni
saujana citra cita-cita
bahasanya nan lurus
wajahnya nan mulus


Kota Kinabalu,
19 Mei 2003.

Memandang ke Barat

Dulu ungkapan ini popular
pandang ke timur
sekarang ungkapan ini lebih popular
mari pandang ke barah!

ambil teknologinya
ambil fahamnya
ambil budayanya
ambil ilmunya
ambil falsafahnya
ambil keganasannya
ambil tipu helahnya
ambil angkuh sombongnya
ambil rakusnya
ambil tamak halobanya
ambil kebebasannya

ambil yang baik
tapi masih barat
ambil yang baik
tapi masih laknat
ambil yang baik
tampi masih bertopeng
ambil yang baik
tapi masih sesat
ambil yang baik
tapi masih sasau
ambil yang baik
tapi masih hilang
ambil yang baik
tapi masih tak baik

dulu ungkapan ini pun popular
mari belajar berbahasa baik
sekarang ungkapan ini masih popular
mari belajar kurang ajar!

Kota Kinabalu,
2003.

Aku

Si fakir yang kembara
danau yang jauh di rimba
angkasa yang teruji tanpa warna
suara yang ingin pulang ke dalam halkum-Nya

Tanjung Aru - Kota Kinabalu .
27 Jun 2003.

Usia: Kutemuimu dalam Lebur Mawaddahku

Berulang khabar tiba di halaman rumah usia
kudengar sapaan biasa selamat tinggal sahabat
yang dondangnya kehidupan membawa waktu-waktu lalu
di sisiku coretan yang harus dimaknakan
bagaikan perjalanan pertama zaman yang berulang

jelinglah kartu yang kukirim dalam pengatara bahasa biasa
lumrahnya bagai tulisan dan bacaan di diari yang menjelma
akurku menjulang di puncak yang mengasak degil insan
memilih yang terdaya memeliharanya mengembalikan
riuh di rimba mahabbah, kutemuimu dalam lebur mawaddahku

kuterima seadanya khabar dan berjuang di lembah yakin
sahabat yang berhimpun di hujung tahun.

Tg Aru-Kota Kinabalu,
1 September 2003.

Cahaya Bukan Api

Seperti biasa melaluinya
aku kenal erti cabaran
mekar dan kehidupan
tak kugentar gugatan apapun
datang di pintu rumah
kerana taman ini wangi
akar akal yang cekal
memilih kebenaran sabar

kutahu akar cahaya itu
dari kesuburan kebenaran
jernih rinduku menegakkan
tiang takwa
jernih awasku menentukan hala
siratulmustaqim
jangan papah perjalanan ini
dalam khianat dan iri hati
jangan beri cahaya kebatulan
membantu fikrah tak berarah

jika ada pilihan kupilih juga
liku yakin dan percaya ada peribadi
membangunkan zarah-zarah mahmudah
berbaju sabar dan berpandangan ketenangan
cahaya ini bukan api
membakar jambatan sambil tebing
semakin berjurang
ku semakin melangkah berani
untuk menakluk kemenangan.

Kota Kinabalu,
20 Oktober 2003.

Makna Pengalaman

Sebuah perjalanan sungai menelusuri
akar sebuah peribadi
memandang samudera cermin musim wajah
yang difahami hanya mimpi mimpi

cuba juga kudekap diam
sedang samudera memberi makna musim
pergi dan datang
menyapa senyap lebih sepi

dhaufa’ku dalam tajam makna pengalaman
terkucil pada insaf insan
menyambut salam yang pulang
dan pintu-pintu tunduk
waktu berlalu.

Laman Akar Cahaya,
23 Ramadhan 1423H.

Melarik Malam

Peralihan musim dan cahaya
senyap yang menyelinap
yang ditangkap sunyi karibnya

sungai yang mengalir tenteram
tenang membasahkan alam diri
menyelami keajaiban
dan keagungan
kejadian

selain tiada
sepimu milik tak sesiapa melupakan
musim-musim wangi
dan luruh daun suasana

menunggu silih ruang
menyingkap tabir siang
sambil tafakur mendekapi raudah zikir
biarlah rimba malam menghijau
di taman rindu yang disimpan.

Laman Akar Cahaya,
24 Ramadhan 1423H.

Senjakala

Senjakala mulai luruh
ketika tiba di birai pintu
menyapa dan disahuti diam
yang lama terpendam
bulan juga mulai menangis
di birai malam
pecah cahayanya di hujung mata
membaca perbualan yang ditulis
musim-musim yang pergi

hanya malam masih mendengar
gerimis yang menikam
dan derap langkah yang tak berbunyi
semakin dekat di sisi.

Laman Akar Cahaya,
24 Ramadhan 1423H.

Nyanyi Sepi

Hanya masih padamu
memahami pergerakan awan
dna hujan yang gerimis

sambil gelora di puncak
tetap kusimpan diam
digamit rawan

masih padamu
bernaung raung yang kurasa
ungkapan rahsia tak didengar
saat masih ada ulang ucap
memaknakan lumrah insane

kembara uzlah dekatkan rumah
anugerah tak siapa lagi merasai
sering memberi irama
dan diksi-diksi mengharu
masih juga padamu
yang tahu

ini kunjungan dan persalaman
merawi pengalaman semalam
juga padamu menghayati nilai
santun diam
mengagungi lestari sepi
di dalamnya wangi kasturi
tambil ada masih tak bermimpi

adamu di manapun sepi
menjadi nyanyi yang difahami

Tanjung Aru,
Kota Kinabalu,
2 Disember 2003.

Kau Gulung Malam

Suara rawan menjadi lautan kelam
Kau selam hening gelombangnya
menemukan titik yang membungkam angan
menggelora diam yang rebah di aspal sesal
tumpas di atas halkum apinya
kembali menghafal silap di puncaknya
buram bulan dan perjalanan menjadi panjang
menggulung malam.

Kota Kinabalu,
10 Disember 2003.

Jika Kudiberikan sinar

Pilihlah kejernihan akar cahaya yang lebur,
jika kudiberikan taman
semadiku biarlah harum yang abadi
pandanglah saujana ini di puncak hasanah tanpa lafaz,
jika kudiberikan makna bahasaku
biarlah santun yang sunyi
pulanglah segalanya kepada pengabadian tanpa sesal
waktu riadah bermuhasabah
perjalanan menangkap segala silap,
jika kudiberikan lagi kelewatan waktu
biarlah naiwaitu di jendela diri
menyambut lembut pengalaman
merimbun embun
tak kumenjadi sisa masalalu,
jika kudiberikan peribadi biarlah lorong diri
dijaga cahaya akar yang membersit mensaujana sinar.

Kota Kinabalu,
Sabah.
14 April 2004.

Seekor Binatang di Lorong Diri

Kulihat sesuatu yang datar ketika seekor binatang masuk
ke lorong diri. kupegang nafasnya. kuletakkan di kaki hati.
ia menjadi arnab yang berbulu lembut. sewaktu menjadi sutera
salju kalbu meniduri mimpi-mimpi yang semakin gelora

dataran itu selimut yang kering. seekor binatang itu kian mencakar
cakar sunyi. hatiku semakin dibawa berjuang. berjalan ke hilir
yang berakhir di puncak yang retak. melankolisnya menjadi
awan-awan hitam menenggelamkan angin dingin

seekor binatang di lorong diri tak mungkin mampu keluar
tatkala enggan kubongkar kesasar walau galau sering mengiring
kembara yang menyalakan api di diri.

Kota Kinabalu,
12 April 2004.

Gendang Perkhabaran

Gendang masih saja dimainkan waktu semua orang pulang
membawa di mata mereka bintang di angkasa raya
meletakkan cahaya bulan dalam halkum yang dikuncikan

Tulislah segala kehilangan yang berterbangan dalam fikiran
waktu menangkapnya sentiasa saja kau dikejar bayang-bayang
namun perkhabaran sentiasa mengisi kasus enggan meletakkan titiknya

Figura angka-angka menjadi percakaran di puncak pertarungan
masih enggan memilih selagi asyik santai menyiapkan laporan
kebenaran berada dalam bunyi gendang menjadi roh perkhabaran.

IPS, Kota Kinabalu,
7 April 2004.