18 May 2008

Tak Terfikir Pak Menteri

Tak kufikir pak menteri selesa
duduk mewah memandang keliling dinding
gambar raja dan pemimpin perdana
memandangnya, setiap ketika
memerhatikan gelagat
menjawab pertanyaan-pertanyaan
dan jani-janji pilihan raya

Pak menteri membahui tanggungjawab besar
dengan hanya memiliki pasangan-pasangan deria
dia hanya punya satu rasa dan satu hati
menjadikan jati diri
menggeledah resah bertahun
pada bilik-bilik gelap di belakang pejabat
fail-fail usang dan kabinet-kabinet besi
menyimpankan seribu satu janji

Tak kufikir pak menteri mengerti
demikianlah berapa ramai yang mahu memahami
perih payah pak menteri
setiap hari menyusun kerja demi pertiwi
tunggak wibawanya
memandang saujana dan kemiskinan rakan-rakan
sering bertengkar membentangkan tingkah
sering juga membiarkan orang lain mengisi diari
betapa payah memimpin negeri

Maka sering kudengar tohmahan untuk pak menteri
menjadi dalang kehancuran harmoni rakyat
menjadi wayang kehidupan pura-pura
penuh pembohongan belaka
kudengar semua tapi tak kufikir pak menteri
belum mahu memahami apa lagi mengerti
saat ini.

Kota Kinabalu.
8 Mei 2000.