18 May 2008

Mengarca Rahsia

Hanya jelingan sukma sahaja
bertandang di anjung malam
adakah biru yang tumbuh di dahan sepi
atau hijab malu menyembunyi hening?

mengungkai rangkairahsia antara rahsia
menjelajahkan misteri bertakhta
antara jelas halus pada raut kalbu
kabur mengkabus teliti realiti

mabukkah tenungan merasuk renungan
subur kalbu menerawang kebenaran
tapi batil itu mustahil
jangan nyalakan baranafsu di matamu!

sering saling berpaling ke lubuk kalbu
arcakan rahsia, seakan tiada
renungkan riwayat malam
ketika duduk bertasyahud atau sujud

pinggir malam dan tibanya pengembaraan rahsia
jangan nantikan lidah bermadah
pusatkan tikaman tajam latifah rabbaniah
di sinilah madrasah, pengukhuwah

rahsia persahabatan mengarca di kalbu
meskikah keakraban memaknakan hukum
atau wajar dibiar mewarnai misteri
dan berhayat sepanjang matakalbu berdenyut

IPS, Kota Kinabalu.
13 April 2000.