18 May 2008

Harga Puisi

Aku mula percaya
puisi sudah menjadi komoditi
yang terlalu murah
kerana berlambak di pasar
para peniaga berlumba
kerana rakyat tanpa mengira
kedudukan dan pangkat
berlumba-lumba
berdiri di pentas
membaca puisi
nilainya sudah rendah
kerana tidak dihayati lagi
makna indahnya
dibaca kerana mahu dibaca
seadanya

puisi pun dibaca di kaca tv
puisi juga di baca di hotel
tapi hari itu puisi-puisi
menjadi tunasusila
yang lalu dari telinga
yang lepas dari matahati

aku dimarahi
kerana meratapi puisi
yang mati di hati penyair
itu sendiri
aku dimarahi
kerana menyatakan kebenaran
yang dinyatakan puisi itu
tunasusila yang meleburkan sahsiah
hargadiri berbahasa indah
aku dimarahi
kerana menulis puisi
di sisiku wajahdiri mencari
emosi yang hanyutkan arus diam

aku mula percaya
apabila puisi menjadi buku-buku bacaan
yang tak laku di pasaran
tapi puisi tetap kuagungi
rahsia rasa menyimpan maknanya
dalam bahasa indah
lembut ketika diungkapkan
mesra apabila didengarkan
menusuk merdu mengharu
kerana puisi bukan untuk dikomoditikan
di pasar lelong buku-buku tak laku
puisi ada letaknya
bukan di kedai buku
bukan di pentas rakyat
yang seadanya
bukan semahunya berbahasa ampu
berbahasa tak laku
berbahasa bau
berbahasa enak sendiri
berbahasa tak erti sendiri

aku percaya puisi
harus ada harga
dan nilai
yang berbeza.


Kota Kinabalu.
10 Disember 2001.